JDT, KDA FC dan Selangor temui jalan terbaik selesaikan masalah kualiti burger stadium

1,973

Isu tentang ‘perang burger’ di stadium sentiasa menjadi topik hangat di media sosial apabila pengunjung atau peminat bola sepak akan mempertikaikan tentang kualiti dan harga yang dijual di stadium pada sebelum sepak mula perlawanan bola sepak berlangsung.

Ramai peminat tidak berpuas hati dan sering merungut tentang rupa burger stadium yang tidak setaraf dengan harga yang dijual oleh peniaga di stadium.


Ini kerana ramai pembeli terpaksa membeli burger dengan harga yang mahal sedangkan kualiti yang diberikan oleh peniaga tidak munasabah contohnya seperti ketiadaan sayur dalam burger, sos yang kering dan burger yang disertakan dengan sos berbentuk paket yang diletakkan berasingan.

Pastinya pembeli tidak berpuas hati kerana perniaga dikatakan ingin mengaut untung yang banyak serta memikirkan tentang keuntungan semata-mata sedangkan burger yang dijual tidaklah seperti yang diharapkan walaupun harganya mahal.

Dengan isu burger yang sepertinya tiada kesudahan, tiga kelab Liga Super mengambil inisiatif untuk mengatasi isu burger di stadium dan juga salah satu usaha untuk memperbaiki penghasilan dan kualiti burger di stadium.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil langkah drastik dengan menjalinkan kerjasama dengan sebuah restoran yang terkenal di Malaysia iaitu Woodfire dengan pembukaan satu cawangan baru di Stadium Iskandar Puteri, Johor.

Isi yang empuk dan juicy ditambah dengan saiz yang besar pastinya menarik perhatian penyokong bola sepak untuk membeli dan merasai kelazatan sebenar burger yang dibuat oleh Woodfire di samping menjana keuntungan untuk kedua-dua belah pihak.

Manakala Kedah Darul Aman FC (KDA) pula melakukan kolaborasi dengan Syukor Burger sebagai rakan rasmi untuk pasukan Kedah FC pada musim 2023.

Ini bertujuan dalam memastikan setiap penyokong berpuas hati dengan burger yang dijual di dalam stadium dan mampu meningkatkan pendapatan untuk kelab selain penjualan tiket perlawanan dan juga cenderahati yang menjadi sumber untuk Kedah meraih pendapatan kelab.

Selangor FC pula mengambil pendekatan yang berbeza apabila memperkenalkan jenama makanannya sendiri yang dikenali sebagai “FASFOOD”.

Ini merupakan satu tindakan yang bijak kerana mutu burger yang dijual oleh kelab semestinya mempunyai standard yang tersendiri demi memuaskan hati para pembeli yang membeli burger di stadium.

Secara tidak langsung jenama FASFOOD ini bakal menjadi daya tarikan tersendiri ketika mengunjungi stadium MPBJ yang terletak di Petaling Jaya di samping menambah pendapatan untuk kelab.

Ini adalah satu langkah positif yang dilakukan oleh kelab bola sepak untuk menyelesaikan isu burger di stadium di samping memastikan kesegaran dan kelazatan burger memenuhi citarasa pembeli dengan harga yang setimpal.

Di samping itu, kelab juga boleh menambah pendapatan untuk kelangsungan hidup pasukan tanpa mengharapkan bantuan dari kerajaan semata-mata.

Kelab-kelab bola sepak yang lain juga boleh megambil langkah yang sama untuk terus memastikan isu burger dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.