Pemilihan pemain Penang FC musim ini diserahkan sepenuhnya kepada Manzoor Azwira dan jawatankuasa pemilihan

550

Pengurus besar Penang FC, Jeffrey Chew memberitahu pemilihan pemain untuk musim 2023 ini diserahkan sepenuhnya kepada pemangku ketua jurulatih Manzoor Azwira dan jawatankuasa pemilihan pemain.

Menurut Jeffrey, Penang musim ini akan menggunakan hampir keseluruhan pemain baru, oleh itu beliau dan ahli lembaga pengarah menyerahkan tugas itu kepada Manzoor dan jawatankuasa pemilihan.


“Tahun ini kita membuat penekanan lebih kepada jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada pengarah teknikal, coach Manzoor dan semua barisan kejurulatihan yang mana kami memberi mereka kebebasan untuk buat keputusan pemain mana yang mereka mahu bawa masuk mengikut bajet yang telah ditetapkan.

Proses pemilihan pemain sebenarnya mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar tiga ke empat bulan dan tugas saya hanya sebagai sekretariat yang mana saya akan bentangkan senarai pemain yang dimahukan kepada ahli lembaga pengarah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, ahli lembaga pengarah akan melihat dan menilai pemain-pemain yang dimahukan oleh jawatankuasa pemilihan sebelum memanggil jawatankuasa untuk perbincangan.

“Ahli lembaga akan melihat pemain-pemain yang dipilih dan mereka akan panggil jawatankuasa pemilihan untuk ‘defend’ pilihan mereka dan menyakinkan kenapa pemain-pemain ini perlu dibawa masuk. Itulah proses pemilihan pemain Penang untuk musim ini.”

Beliau bagaimanapun berkata pemilihan pemain yang dibuat perlu berdasarkan kesesuai bajet supaya tiada masalah akan timbul pada masa akan datang.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai sasaran skuad Harimau Kumbang musim ini, beliau menerapkan pengurusan gaya ‘Hoshin’.

“Saya ada pengalaman dalam dunia korporat dan saya sangat percaya dengan cara pengurusan Jepun yang mana ada satu perkara yang dikenali sebagai ‘Hoshin’ yang bermaksud breakthrough. Dalam ‘Hoshin’, anda akan sasar tinggi dan cuba capai tapi jika tidak berjaya sekurang-kurangnya anda sudah hampir dengan sasaran yang disasar.

Jadi jika coach Manzoor sasar Top 10 saya yakin beliau akan cuba capai lebih baik dari itu. Sasaran Pengerusi YB Sonn Lip Chee untuk pasukan capai Top 6 pula kerana beliau mempunyai pandangan yang lebih luas dan percaya dengan kemampuan pasukan yang dipilih oleh jawatankuasa pemilihan.”

Tambahnya lagi, walaupun sasaran telah ditetapkan namun beliau percaya pasukan Penang akan mempamerkan aksi terbaik untuk mengecapi pencapaian lebih baik dari sasaran awal.

Penang kini berada pada prestasi baik apabila mereka berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Harapan selepas menewaskan Geylang International FC (Singapura) 4-0 dan akan bertemu Selangor FC pada Sabtu ini.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen