Kalau semua kelab guna import, macam mana pemain kita nak maju, saya utamakan pemain muda demi bola sepak negara – Lim Teong Kim

1,832

Ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menganggap beliau mempunyai tanggungjawab untuk membentuk masa depan bola sepak negara dengan memberi peluang kepada ramai pemain muda di kelab itu.

Beliau melihat bahawa pemain muda di Malaysia tidak mempunyai banyak peluang dan ini akan menjadi masalah buat bola sepak negara pada masa hadapan.


“Kalau semua kelab ambil pemain luar negara dan peluang tidak diberikan kepada pemain muda, bagaimana pasukan kebangsaan kita nak maju? Inilah masalahnya di Malaysia.

Sebagai seorang jurulatih dan bekas pemain negara, saya bukan hanya pentingkan menang atau kalah, tetapi juga masa depan bola sepak negara,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 menentang KL City FC esok.

Katanya, masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti England, Jerman, Itali dan lain-lain.

Menurutnya, pemain muda tempatan juga mempunyai kualiti yang baik dan sekiranya dibentuk dengan betul, mereka boleh membuktikan kemampuan mereka.

“Perkara yang penting adalah didikan harus diberikan kepada pemain muda, hala tuju harus ada dan pemain juga bersaing untuk menjadi lebih berjaya.

Ia bukan perkara yang mudah dan singkat, kerana perlu melalui satu proses yang betul untuk perkembangan mereka.”

Tambahnya, beliau akur jika ada dari kalangan penyokong Perak yang tidak sabar untuk melihat kejayaan pasukan itu dalam tempoh yang singkat, tetapi menegaskan kelab itu sedang berada di landasan yang betul dengan pengurusan yang baik.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan barisan kejurulatihan yang dibentuk olehnya dengan membawa masuk beberapa legenda pasukan seperti Raja Azlan Shah dan V Saravanan.

Katanya, kesemua jurulatih dapat bekerja sebagai satu pasukan dan mempunyai kepakaran tersendiri yang dapat membantu kelab itu.

Sementara itu, pemain tengah, Wan Zack Haikal menganggap faktor umurnya yang sudah melebihi 30 tahun tidak menjadi masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan Teong Kim.

“Saya banyak belajar daripada beliau, bagi saya beliau amat mementingkan disiplin sebagai pemain profesional.

Walaupun saya sudah melebihi usia 30 tahun saya tiada masalah untuk mengikuti apa yang dimahukan oleh beliau.”

Menurut Wan Zack, persiapan pasukan kini berada dalam keadaan yang baik dan beliau sudah tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan.