KL City FC tiada bajet sebesar JDT atau Selangor FC, kami tak boleh beli pemain ‘top’, tetapi mampu hasilkan – Bojan Hodak

1,246

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui kelab itu tidak boleh bersaing dengan pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dari segi bajet walaupun sudah memiliki pemilik baharu.

Katanya, pemilik baharu berkenaan tidak meletakkan tekanan kepada beliau serta pemain, dan hanya memberi sasaran yang realistik buat pasukan itu.


“Walaupun kami mempunyai pemilik baharu, tidak banyak perubahan pun yang berlaku, kami masih tidak boleh bersaing dengan kelab seperti JDT dan Selangor yang mempunyai bajet yang lebih besar.

Sasaran yang kami letak juga realistik, pada musim pertama saya di sini kami tamatkan saingan liga di tangga keenam dan semua orang puji kami, tetapi musim lalu kami turut berada di posisi keenam tetapi orang sudah tidak kisah pencapaian itu,”

katanya.

Tambahnya sebagai kelab yang tidak mempunyai besar, kehilangan pemain kepada pasukan lain adalah perkara biasa kerana tidak dapat bersaing dengan gaji yang ditawarkan pasukan lain.

Beliau memberi contoh Daniel Ting yang berhijrah ke JDT pada musim lalu dan Irfan Zakaria yang akan bermain untuk Sabah FC pada musim ini.

“Ini adalah masalah kami, apabila pemain dapat tawaran gaji lebih tinggi mereka akan pergi. Musim lalu Daniel Ting tinggalkan kami untuk ke JDT dan kali ini Irfan Zakaria pula pergi ke Sabah.

Saya tak boleh beli pemain ternama tetapi apa saya boleh buat adalah cari bakat baharu dan bentuk dirinya.”

Menurutnya, kelab itu sudah membawa seorang pertahanan import dari Croatia, Matko Zirdum untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan dan berharap pemain lain dalam pasukan turut mampu menggantikan pemain itu.

Sementara itu, kapten pasukan, Paulo Josue berharap beliau mampu mencipta keserasian dengan pemain-pemain baharu yang menyertai pasukan itu terutama di bahagian serangan.

“Musim ini kami mempunyai ramai pemain yang baik dan saya harap kami semua dapat buat jurulatih pening untuk meletakkan siapa yang layak berada di kesebelasan utama.

Apa yang penting kami harus segera mendapatkan keserasian dalam sesi pramusim supaya bersedia apabila liga bermula.”

Paulo berkata, setakat ini persiapan pasukan itu berada dalam keadaan yang baik dengan penekanan diberikan kepada tahap kecergasan dan keserasian antara pemain.

KL City memperkuatkan barisan serangan mereka dengan membawa masuk bekas pemain Terengganu, Tchetche Kipre dan bekas penggempur Selangor, Caion.