KDA FC bakal tampil dengan KDA TV, namun perlu pastikan kualiti tidak seteruk ‘live stream’ Piala Harapan

862

Pada era digital ini, kebanyakan pasukan bola sepak sudah mengorak langkah untuk memastikan penyokong sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada pasukan kesayangan mereka.

Setiap kelab berusaha untuk mendekatkan hubungan penyokong dan pasukan mereka dengan menyediakan akses di laman web dan sosial media seperti Instagram, Facebook dan Twitter supaya setiap penyokong mengetahui setiap berita yang disampaikan oleh kelab.


Pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA) mengorak langkah dengan memperkenalkan platform terbaru yang dikenali sebagai KDA TV.

Berita ini disampaikan sendiri oleh pemilik pasukan Kedah, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar melalui platform media sosial beliau.

KDA TV akan bermula secara rasmi dengan disajikan dengan penstriman secara langsung perlawanan pra-musim di Antayla, Turki selama 10 hari bermula 5-15 Februari.

Ini merupakan satu inisiatif yang baik dari Kedah kerana penyokong boleh menyaksikan perlawanan secara langsung melalui telefon pintar dengan harga yang berpatutan.

Tetapi, Kedah harus memastikan platform itu dibangunkan dengan baik dan tidak mengalami masalah seperti yang berlaku ketika ‘live stream’ Piala Harapan antara pasukan itu dan Selangor FC semalam.

Ramai pelanggan yang menghadapi masalah untuk masuk ke dalam ‘live stream’ tersebut dan ada yang hanya dapat menonton bermula pada minit ke-60.

Ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan pelanggan membayar dengan harga yang tinggi untuk menyaksikan perlawanan itu, iaitu pada harga RM18.90, justeru kualiti sepatutnya setara dengan apa yang dibayar.

Jadi sebelum Kedah melancarkan KDA TV, mereka harus memastikan kelemahan seperti ini tidak berlaku lagi kerana ia boleh menyebabkan penyokong ‘muak’ untuk menonton kandungan di platform seperti itu.

Malah, dengan kewujudan KDA TV pastinya merapatkan lagi hubungan yang terjalin di antara penyokong dan pasukan Sang Kenari dan memastikan setiap info dan perlawanan pra musim yang diadakan di Turki boleh didapati secara langsung.

Bukan itu sahaja, setiap pendapatan yang yang diperolehi melalui jualan tiket online untuk menyaksikan perlawanan pramusim pastinya memberi dana tambahan kepada kelab seterusnya boleh bergerak sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

Dengan ini, kewujudan KDA TV bakal menambah baik nilai komersial kelab serta mampu menarik sokongan penyokong untuk terus menyokong pasukan Kedah di dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Tetapi setakat ini belum dapat dipastikan tentang program-program yang akan disediakan di dalam KDA TV.

Terdahulu, Terengganu juga telah mewujudkan platform penstriman atas talian iaitu TFC Play dalam usaha menyediakan kandungan yang menarik termasuk video-video yang diterbitkan secara ekslusif khas untuk penyokong pasukan itu.

Ini adalah satu perkembangan yang baik apabila semakin banyak kelab yang nampak kepentingan aset digital ini dalam membantu kewangan pasukan serta teknik pemasaran yang baik, dan mampu mendekatkan diri dengan penyokong.