Manzoor Azwira tuntut pemainnya untuk cepat sesuaikan dengan dengan skuad baru Penang FC
Pemangku ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira mengakui ada dalam kalangan pemainnya yang masih lagi bergelut menyesuaikan diri dengan pasukan, dan menuntut mereka supaya melakukannya dalam masa terdekat ini.
“Saya lihat beberapa pemain telah menunjukkan petanda positif tetapi beberapa pemain lagi mungkin bergelut untuk menyesuaikan diri mungkin sebab pasukan baru, rakan sepasukan yang baru. Jadi saya harap mereka akan cepat sesuaikan diri,”
katanya.
Selepas mengharungi musim Liga Super yang hambar pada tahun lalu, skuad Harimau Kumbang tampil hampir 90 peratus muka baru.
Manzoor menyedari dengan harapan tinggi yang diletakkan oleh peminat dan beliau menegaskan bahawa anak buahnya akan sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Penang memulakan latihan pra-musim mereka dengan langkah kanan apabila berjaya menang dalam lima perlawanan persebahatan yang diatur termasuk menang 4-0 ketika menentang kelab dari Singapura, Geylang International FC dalam kejohanan Piala Harapan.
Susulan kemenangan itu, Penang akan bertemu dengan Selangor FC pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Batu Kawan.
“Bagi saya perlawanan esok menentang Selangor adalah perlawanan besar untuk pasukan Penang kerana mereka adalah sebuah pasukan yang mempunyai pengalaman selain dibarisi ramai pemain kebangsaan.
Tapi saya ia adalah perkara yang bagus kerana kita dapat mengukur dan menguji kemampuan pemain Penang berada di tahap mana. Ia adalah satu perlawanan cukup baik untuk saya dan pasukan.”
Selain Piala Harapan, Manzoor turut memberitahu bahawa anak buahnya akan mengharungi lagi dua perlawanan persahabatan yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, jurulatih berusia 46 tahun itu mengakui Penang bakal berdepan cabaran yang cukup besar dalam saingan Liga Super musim ini kerana mereka perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi memberi saingan kepada pasukan lain.
“Memang satu cabaran besar buat kami nanti kerana kami bukan pasukan elit tetapi sebuah pasukan yang kerdil yang mana pada tahun lalu kita berada di tangga tercorot liga, jadi memang kita kena serius dan fokus dari perlawanan pertama lagi.”