Dilantik jadi Presiden FAS gantikan Posa Majais, Abang Zulkarnain perlu fokus selesaikan isu tunggakan gaji SUFC

911

Teka-teki tentang individu yang akan menggalas tanggungjawab untuk menerajui tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi penggal 2023-2025 akhirnya terjawab selepas Abang Zulkarnain Abang Abdul dipilih untuk memegang jawatan presiden menggantikan Datuk Posa Majais.

Ini kerana Abang Zulkarnain atau dikenali sebagai Abang Zul merupakan calon tunggal serta menang tanpa bertanding selepas mendapat sokongan majoriti 12 ahli gabungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan di Sarikei.


Untuk pengetahuan, Abang Zulkarnain yang kini berusia 57 tahun memulakan kerjaya sebagai setiausaha eksekutif Persatuan Bola Sepak Sarawak pada tahun 1988.

Selepas itu, beliau menyertai FAM pada tahun 2013 dan menjawat pelbagai jawatan sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung merangkap Pengarah Jabatan Pertandingan FAM pada tahun 2022 atas alasan peribadi.

Namun tanggungjawab berat menanti Abang Zulkarnain selepas diberi mandat untuk menjadi Presiden FAS.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pasukan Sarawak United menerusi Instagram, sesiapa yang ingin menjawat jawatan Presiden harus bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar.

Ini kerana ianya memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan keseluruhan kos operasi dan perbelanjaan untuk pasukan yang bernaung di bawah FAS dan SUFC berjalan dengan lancar.

Untuk makluman, sehingga kini masih lagi kedengaran tentang tunggakan gaji yang belum dibayar oleh FAS dan SUFC kepada bekas pemain dan pemain mereka.

Justeru, jawatan tersebut juga hadir bersama tanggungjawab yang besar yang harus dipikul serta amanah yang harus diselesaikan.

Malah, menyelesaikan masalah kewangan yang melanda pasukan itu harus menjadi agenda utama buat Abang Zulkarnain.

Selain itu, beliau harus menyiasat ke mana dana daripada kerajaan negeri Sarawak yang diberikan kepada persatuan itu.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah menggesa Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri itu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyiasat isu bola sepak Sarawak terutama yang berlaku dalam pengurusan FAS.

Tunggakan gaji sudah berlaku ketika saingan Liga Super musim 2022 sedang berlangsung menyebabkan prestasi Sarawak merosot secara drastik dan berada di tangga ke-11 daripada 12 pasukan yang bertanding.

Terdapat beberapa pemain yang tidak menerima gaji selama 4 bulan menyebabkan segala urusan pemain untuk menjalani kehidupan seharian menjadi sukar seperti kegagalan membayar sewa rumah dan kereta serta perbenlanjaan untuk keluarga.

Oleh itu, pihak MFL mengambil tindakan untuk memotong bayaran hak penyiaran Liga Malaysia sebagai bayaran tunggakan gaji kepada para pemain yang terkesan menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berjumlah RM250,000 untuk meringankan beban pemain yang terkesan.

Diharap jawatan Presiden yang dipegang oleh Abang Zulkarnain mampu untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang kini menjadi faktor utama dalam usaha memartabatkan kembali pasukan bola sepak Sarawak ke peringkat yang tertinggi.

Sekiranya masalah tunggakan gaji masih berterusan, pasukan bola sepak Sarawak akan gagal untuk menjadi pasukan yang hebat suatu hari nanti dan kemungkinan akan terkubur seperti pasukan-pasukan lain contohnya Perlis satu ketika dahulu.