Dianggap ‘gagal’ ketika di Sri Pahang FC, Thomas Dooley lebih dihargai di luar, kini jadi pengarah teknikal Viettel FC

1,371

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Filipina, Thomas Dooley sah dilantik sebagai pengarah teknikal untuk pasukan Viettel FC yang berpangkalan di Vietnam.

Viettel kini bermain di liga divisyen utama atau dikenali sebagai V.League 1 dan menduduki tangga ke 4 daripada 13 pasukan yang bertanding pada musim 2022.


Pasukan Viettel berjaya melayakkan diri untuk bermain di dalam Piala AFC pada musim 2022 namun gagal untuk mara ke peringkat final zon ASEAN selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC.

Kerana itu khidmat Thomas Dooley ditagih untuk memastikan prestasi pasukan Viettel berada dalam keadaan terbaik.

Thomas Dooley merupakan nama yang tidak asing lagi selepas memegang beberapa jawatan penting bersama pasukan di Asia Tenggara.

Beliau memulakan karier kejurulatihan di Asia Tenggara dengan melatih pasukan kebangsaan Filipina sejak tahun 2014 dan berjaya membantu skuad Filipina melayakkan diri ke Piala Asia 2019 secara merit.

Selepas kontraknya tamat bersama pasukan Filipina, beliau meneruskan karier dengan menjawat jawatan pengarah sukan kelab Viettel FC yang merupakan juara V.League 1 pada musim 2020.

Pada tahun 2021, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih bersama pasukan Sri Pahang FC dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak Pahang.

Namun segalanya tidak menjadi buat pengendali dari Jerman itu selepas mengalami beberapa masalah utama ketika mengendalikan skuad Sri Pahang.

Antara cabaran yang perlu diselesaikan oleh beliau adalah Sri Pahang sudah melepaskan tiga tonggak utama pasukan dan baki pemain tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Dooley kemudiannya direhatkan selepas tewas dalam dua perlawanan Liga Super menentang Selangor FC dan Perak FC.

Selepas itu, khidmatnya kembali ditagih oleh pasukan kebangsaan Filipina pada tahun 2022 berdasarkan prestasi beliau ketika mengendalikan Filipina sebelum ini dan bergabung kembali bersama pasukan Viettel pada musim ini.

Walaupun pengalaman Dooley tidak diguna pakai secara baik bersama Sri Pahang, namun khidmatnya sentiasa ditagih oleh pasukan kelab mahupun pasukan kebangsaan yang inginkan kejayaan dengan tunjuk ajar dan bimbingan dari beliau.