Nafuzi Zain akui bermain dalam keadaan cuaca panas buat intensiti perlawanan berkurang

625

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain mengakui beliau lebih memilih untuk bermain di waktu malam berbanding bermain di waktu petang kerana ia cuaca yang panas dan merencatkan sedikit intensiti permainan.

“Secara peribadi saya lebih suka bermain di waktu malam kerana kita tengok keadaan cuaca tadi yang panas dan kita boleh tengok dari segi kerancakan dan intensiti permainan agak sedikit perlahan.

Kalau perlawanan waktu malam ni, kita ada banyak masa untuk persiapan pasukan berbanding bermain di waktu siang kerana kita kena pergi awal selain melakukan sesi memanas badan dalam cuaca yang panas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nafuzi berkata demikian selepas pasukannya berjaya menumpaskan Geylang International FC (Singapura ) 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Harapan yang berlangsung pada pukul 5.30 petang tadi.


Beliau bagaimanapun tiada masalah untuk bermain di waktu petang, namun jika diberi pilihan beliau lebih memilih untuk bermain di waktu malam.

Terdahulu pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan perubahan waktu perlawanan yang menyaksikan beberapa waktu perlawanan akan diguna pakai untuk musim 2023 termasuk waktu perlawanan pukul 5.30 petang.

Dalam pada itu, pengendali Sang Kenari itu turut berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh penyerang import barunya Jonathan Balotelli yang mempamerkan aksi yang positif walaupun baru menyertai pasukan itu.

“Beliau tak sampai seminggu berlatih bersama pasukan dan saya juga tidak meletak sebarang jangkaan kerana mahu melihat beliau mampu bermain di tahap mana yang mampu, tapi beliau telah pamer komitmen yang cukup bagus.

Jadi saya yakin beliau mampu memberikan sesuatu pada pasukan nanti.”

Selepas tamat kejohanan Piala Harapan, KDA akan berangkat ke Turki pada 5 Februari bagi mengharungi perlawanan pra-musim menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine.