Jika pengurusan kelab naikkan bajet saya, pasti saya mahu bawa masuk pemain Malaysia – Mohd Noor Ali

2,614

Ketua jurulatih Geylang International FC, Mohd Noor Ali menyuarakan hasratnya untuk membawa masuk pemain Malaysia ke kelabnya sekiranya mempunyai bajet untuk berbuat demikian.

Ini kerana menurut Noor Ali, beliau bukan sahaja kagum dengan kemampuan pemain Malaysia tetapi juga kagum dengan saiz fizikal pemain.


“Buat masa ini saya tidak rasa pemain Malaysia mahu bermain di Singapore Premier League kerana perbezaan gaji yang cukup ketara. Mungkin ada satu atau dua kelab yang mampu tapi untuk Geylang memang kami tidak mampu.

Tapi kalau pengurusan kelab naikkan bajet saya nanti, pasti saya akan cari seorang dua pemain Malaysia.

Saya juga kagum dengan saiz fizikal pemain tempatan dengan pemain Singapura yang kecil. Saya pun tak tau pemain Malaysia ni makan apa yang besar sangat (selorohnya),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Geylang International menamatkan kejohanan Piala Harapan di tempat keempat selepas mereka tewas 2-1 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA) petang tadi.

Beliau berkata penyertaan pasukannya pada kejohanan kali ini bukan untuk mencari keputusan, sebaliknya mahu pemain-pemainnya menimba pengalaman dan merasai sendiri perlawanan bola sepak berintensiti tinggi.

“Kita datang ke sini bukan untuk cari keputusan tapi untuk memberi pemain-pemain muda kami pengalaman dan merasai sendiri pengalaman bermain dalam permainan yang berintensiti tinggi.

Di Singapura kita tidak mendapat akan mendapat permainan berintensiti tinggi seperti di Liga Malaysia jadi kami berasa amat berbangga apabila dijemput menyertai kejohanan ini untuk bertemu pasukan gergasi seperti Penang FC dan Kedah Darul Aman FC.”

Dalam pada itu, Noor Ali sangat berpuas hati dengan prestasi pemain-pemainnya sepanjang kejohanan ini yang dilihat sebagai satu latihan yang cukup baik sebelum saingan liga domestik mereka bermula tidak lama lagi.