Caion masih tak faham cara kami, pemain lain pun tak faham cara beliau – Bojan Hodak

254

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menganggap penyerang baharu kelab itu, Herlison Caion masih belum faham gaya permainan yang diterapkan olehnya.

Katanya, pemain itu boleh menampilkan prestasi yang lebih baik lagi apabila membentuk keserasian dengan pemain-pemain lain.


“Bagi saya beliau boleh buat dengan lebih baik lagi dan saya percaya ia akan dapat dilihat secara beransur-ansur.

Setakat ini, beliau masih tidak faham cara kami dan pemain lain pun tidak faham cara beliau,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 3-0 kepada Perak FC dalam perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan sebentar tadi.

Menurutnya, beliau tidak kisah walaupun pemain itu hanya menjaringkan gol melalui sepakan penalti kerana ia sebahagian daripada bola sepak.

Sementara itu, beliau ketika ini hanya berpuas hati sebanyak 60 peratus dengan persiapan pasukan itu menjelang musim baharu Liga Malaysia.

“Kami masih boleh perbaiki beberapa perkara seperti bahagian tengah kerana kami agak longgar ketika perlawanan tadi.

Selain itu, kami juga perlu perbaiki lagi penyudah, serangan dan hantaran di kotak lawan.”

Dalam pada itu, beliau tetap memuji pemain Perak yang memberikan saingan yang hebat terhadap pasukannya dengan kebanyakan pemain muda.

Beliau percaya mana-mana pasukan yang bertemu Perak akan melalui perlawanan yang sukar.