Jangan letak harapan tinggi kepada Perak FC musim ini – Kenny Pallraj

1,788

Pemain KL City FC, Kenny Pallraj menganggap Perak FC mempunyai potensi untuk menjadi pencabar dalam Liga Malaysia dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

Menurutnya, pemain-pemain muda yang ada dalam pasukan Perak begitu berbakat dan mereka akan menjadi lebih baik apabila sudah matang.


“Bagi saya ini mereka mempunyai pemain-pemain muda yang baik dan ini adalah sesuatu yang bagus.

Ini adalah satu permulaan, jangan letak harapan yang tinggi pada tahun pertama ini, saya percaya lagi dua atau tiga tahun mereka akan jadi pencabar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 3-0 kepada Perak FC dalam perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan sebentar tadi.

Kenny yang juga bekas pemain Perak berkata, tidak mudah untuk menentang pemain muda kerana mereka mempunyai tenaga yang tinggi.

Beliau berkata, Perak bermain dengan baik dengan serangan balas yang bahaya, selain sering mengkucar-kacirkan permainan KL City.

“Tak mudah menentang mereka, pada separuh masa pertama mereka bermain dengan kompak dan menekan kami dengan hebat.

Tetapi kami berjaya hasilkan gol dan mengawal permainan dengan lebih baik pada separuh masa kedua, ia kelebihan dari segi pengalaman.”

Sementara itu, pertahanan KL City Giancarlo Gallifuoco turut bersetuju dengan potensi yang dimiliki pasukan Perak.

Menurutnya, walaupun menang 3-0, ia sebenarnya adalah satu perlawanan yang sukar buat mereka.

“Saya harus berikan kredit kepada pasukan Perak kerana mereka bermain dengan baik malam ini dan sukarkan kami. Kami tidak dapat bermain dari bawah.

Pemain Perak mempunyai tenaga yang banyak, saya tak tahu berapa banyak pasukan lain yang mampu menyaingi tahap tenaga yang ditunjukkan mereka.”

Beliau yakin bahawa Perak akan mempunyai kempen yang baik pada musim ini dengan gaya permainan yang ditunjukkan.

Beliau berkata, pasukan itu mempunyai ramai pemain muda tempatan berbakat dan Malaysia harus berbangga dengan mereka.