Hadi Fayyadh percaya Perak FC mampu jadi pencabar liga
Penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh percaya pasukan itu mempu menjadi salah satu pencabar dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Menurutnya, beliau percaya dengan kemampuan barisan kejurulatihan dan pemain yang ada dan melihat banyak perkara yang positif dalam pasukan itu.
“Saya percaya dengan jurulatih dan pemain, kita sudah nampak perkara positif cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
Kalah sekali tidak semestinya kalah lagi selepas ini, saya dan pemain lain akan lakukan terbaik untuk menampilkan persembahan yang baik dan jadi pencabar dalam liga,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang menyaksikan pasukannya tewas 3-0 kepada KL City FC.
Hadi berharap beliau akan menemui sentuhan gol dengan segera dan ia akan terus berterusan.
Beliau masih belum berpuas hati dengan persembahannya setakat ini dan menganggap masih terdapat perkara yang perlu diperbaiki.
“Kami ada masa sebelum berlawan dengan Kedah seleaps ini, saya harap kami dapat lakukan persediaan dengan baik dan tingkatkan keserasian.
Saya dapat rasakan ada keserasian dengan Christian Obiozor dan saya percaya persefahaman kami akan lebih baik perlawanan demi perlawanan.”
Beliau berjanji akan menjadi lebih baik selepas ini dan cuba mendapatkan kemenangan untuk pasukan.
Hadi juga berterima kasih kepada para penyokong Perak yang hadir ke perlawanan itu untuk memberi sokongan kepada mereka.