Kedah akan guna kudrat ‘anak utara’ untuk saingan MPFL musim ini

343

Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bakal membuka tirainya tidak lama lagi dan setiap pasukan kini sedang rancak membuat persiapan rapi menjelang perlawanan pertama mereka.

Pasukan futsal Kedah merupakan antara pasukan yang kini sedang sibuk melakukan latihan pra-musim mereka dengan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Saingan MPFL musim ini akan menjadi lebih rancak apabila kerana bukan kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja akan menyertai saingan liga futsal pada musim ini, tetapi juga memperkenalkan kuota pemain import sebanyak dua pemain.

Ketua jurulatih pasukan futsal Kedah, Ahmad Rahsidi Hashim bagaimanapun berkata mereka tidak akan menggunakan khidmat pemain import kerana percaya dengan bakat ‘anak utara’ yang akan bersaing pada musim ini.

“Untuk musim ini pasukan Kedah kita tiada pemain import kerana kita percaya dengan kemampuan pemain-pemain dari utara untuk bagi saingan pada pasukan lain dalam saingan musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, musim ini skuad Helang Merah akan menggunakan gabungan pemain baru dan lama.

“Pada pertengahan Disember lalu kita telah mengadakan siri pemilihan pemain baru dan mula menjalani latihan pra-musim beberapa minggu lalu untuk mempertajamkan skuad dan memantapkan lagi keserasian kerana pemain-pemain muda ini tampak sedikit ‘terkejut’ ketika bermain dalam siri perlawanan persahabatan berikutan tahap kualiti MPFL berbeza dengan perlawanan liga ‘haram’ yang disertai mereka sebelum ini.”

Terdahulu Kedah mengadakan siri perlawanan persahabatan termasuk menentang JDT yang mana mereka tewas 3-0.

“Sebelum kita menentang JDT kita sudah main dua perlawanan persahabatan dan pemain sedikit letih. Tapi saya berpuas hati juga kerana pada perlawanan yang dimainkan dalam tiga separuh masa menyaksikan mereka berjaya seri pada separuh masa pertama sebelum bolos pada separuh masa kedua dan ketiga.”

Berdasarkan keputusan tersebut, Rashidi meluahkan keyakinannya terhadap kemampuan anak buahnya untuk beri saingan sengit walaupun bermain tanpa pemain import.

Beliau juga gembira apabila sukan futsal kini semakin mendapat perhatian dan persaingan juga semakin tinggi.

Untuk musim ini, beliau menyasarkan skuad futsal Kedah untuk memperbaiki kedudukan musim lalu selepas menamatkan saingan MPFL di kedudukan ke-10.

Walaupun format MPFL musim ini masih belum diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun beliau menyasarkan untuk kedudukan Top 8 jika bermain dengan format liga dan sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir sekiranya bermain dengan format kumpulan.