Dikaitkan dengan pinjaman ke kelab lain, Akhyar boleh jadikan Safawi sebagai contoh untuk dapatkan kembali rentak

1,079

Sejak beberapa hari ini, terdapat khabar angin melibatkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid yang dikatakan akan meninggalkan kelab itu untuk dipinjamkan ke pasukan lain.

Pemain yang berusia 23 tahun itu sukar untuk mendapatkan minit permainan di JDT dan dikhabarkan menjadi sasaran Terengganu FC.


Malah, Akhyar menjadi calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Faisal Halim yang telah berhijrah ke Selangor dan menjadi pemain yang akan diberi keutamaan oleh ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner dalam saingan Liga Super musim ini.

Walaupun ianya sekadar spekulasi dan belum menerima kenyataan rasmi dari kedua-dua belah pihak, namun sekiranya terjadi, pastinya disambut baik oleh penyokong bola sepak.

Ini kerana Akhyar merupakan pemain yang berbakat besar dan disenaraikan untuk menjadi pemain Malaysia B-17 tahun, B-19 tahun, B-23 tahun serta skuad senior negara.

Terdahulu, Safawi Rasid dipinjamkan ke Ratchaburi FC untuk mendapatkan minit permainan bersama pasukan yang bermain di Thai League 1 dengan mengisi slot kuota pemain Asean.

Safawi kini sudah mengumpul 202 minit selepas 3 perlawanan dan dijangka untuk terus membarisi skuad utama Ratchaburi dan menjaringkan gol pertama bersama skuad yang diberi jolokan ‘The Dragons’.

Malah Safawi juga semakin disukai oleh penyokong Ratchaburi yang baru-baru ini menyanyikan lagu khas sempena kepulangan beliau selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Lamphun Warrior.

Dengan perkara positif yang dihasilkan oleh Safawi, ianya menjadi petunjuk yang baik sekiranya Akhyar ingin mencontohi rakan sepasukannya itu mendapatkan minit permainan di kelab lain.

Sekiranya JDT bersedia untuk meminjamkan Akhyar ke kelab lain,sudah tentu membawa satu berita yang baik dalam memastikan beliau untuk menaikkan kembali karier selepas memanaskan bangku simpanan untuk beberapa musim ketika bersama pasukan Harimau Selatan.

Kehebatan dan kelincahan Arif Aiman dan Fernando Forestieri menyebabkan persaingan untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama semakin sukar buat Akhyar seterusnya memerlukan beliau untuk berhijrah ke pasukan lain untuk menaikkan prestasi beliau.

Dalam 13 perlawanan musim lalu yang menampilkan dirinya, Akhyar hanya berjaya mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebanyak enam perlawanan, manakala selebihnya beliau hanya masuk sebagai pemain gantian atau berada di bangku simpanan dan meraih 443 minit sepanjang musim 2022.

Ini menjadi petanda yang jelas untuk Akhyar memikirkan masa depan secara teliti kerana jangka hayat seorang pemain bola sepak profesional adalah pendek dan tidak kekal lama.

Malah dengan perpindahan beliau bersama kelab lain bakal menaikkan karier dalam bola sepak kerana beliau juga merupakan satu aset penting untuk Harimau Malaya dalam usaha menaikkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.