PSSI laksana program Garuda Select hantar ubi muda Indonesia ke Eropah, satu contoh baik buat FAM lakukan program serupa

422

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah melaksanakan satu program pembangunan bola sepak remaja yang baik yang digelar sebagai Garuda Select.

Program ini dilaksanakan untuk mencari pemain berbakat B-17 dan telah dilaksanakan sejak tahun 2017.


Program ini juga telah berlangsung selama lima musim dan para pemain akan menjalani latihan selama enam bulan di sesebuah negara untuk memberi pendedahan kepada mereka.

Terbaru, pasukan ini baru sahaja menamatkan jelajah mereka di Itali di mana mereka berjaya mencatatkan keputusan yang sangat baik dalam empat perlawananan iaitu dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Mereka mencatatkan keputusan yang baik menentang beberapa akademi kelab besar Itali seperti seri 0-0 dengan akademi AC Milan dan menumpaskan akademi Inter Milan 2-1.

Bukan itu sahaja, terdapat empat pemain daripada pasukan Garuda Select telah berjaya menempatkan diri mereka dalam pasukan B-20 Indonesia dan pemain tersebut ialah Erlangga Setyo, Daffa Fasya Sumawijaya, Ferdiansyah dan Kakang Rudianto.

Jadi ia jelas terbukti yang program ini berjaya membuahkan hasil dan merupakan satu inisiatif yang amat bagus oleh PSSI untuk mencungkil bakat muda tempatan negara itu.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga boleh melakukan inisiatif yang sama seperti PSSI untuk lahirkan ramai lagi pemain yang berbakat.

Inisiatif seperti ini dapat memberi pendedahan yang awal kepada pemain remaja tentang bola sepak di negara dan benua yang berbeza.

Selain itu, tindakan ini juga dapat mempertingkatkan kualiti permainan pemain muda negara dan dapat mengembangkan bakat mereka.

Siapa tahu jika pemain muda ini beraksi dengan baik sepanjang program seperti ini dijalankan, mereka boleh mendapatkan kontrak profesional di mana-mana kelab luar negara seperti kata pepatah “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.”

Program seperti ini juga dapat membantu pembangunan bola sepak akar umbi negara akan terus membangun seperti negara rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang lain.

Benar, kita ada program pembangunan bola sepak remaja seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang ditubuhkan pada 2014 tapi FAM tidak boleh mengharapkan pada program itu sahaja.

Seperti yang dilakukan oleh PSSI dengan menghantar pemain-pemain muda dari Garuda Select ke Eropah untuk menimba ilmu, ia juga boleh dicontohi kerana kita tahu tahap bola sepak di Eropah jauh lebih tinggi dari Asia.

Mereka harus lakukan usaha yang lebih lagi untuk lahirkan pemain-pemain yang berbakat di peringkat remaja.

Antara pemain yang lahir daripada program NFDP ialah pemain lincah yang sangat berbakat iaitu Arif Aiman yang kini bermain untuk pasukan Johor Darul Ta’zim.

Arif menjadi bukti yang program seperti ini mampu mencungkil bakat pemain muda dan jika inisiatif seperti Garuda Select ini turut dilaksanakan tidak mustahil akan lebih ramai lagi pemain seperti beliau akan dilahirkan.

Diharap pada masa akan datang, akan ada banyak lagi program pembangunan bola sepak akar umbi dilaksanakan oleh FAM dan mengadakan inisiatif menghantar para pemain muda ke Eropah untuk menuntut ilmu dalam usaha membangunkan bola sepak negara.