Pengganti Yusri Che Lah untuk Skuad Projek FAM-MSN

237

Hassan Sazali telah dilantik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih baharu Skuad Projek FAM-MSN menggantikan Yusri Che Lah yang telah meletak jawatan pada 10 Disember lalu.

Hassan akan membimbing skuad yang dibarisi pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Premier 2022.


Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar telah mengeluarkan satu kenyataan Hassan akan bermula tugas berkuat kuasa pada 1 Januari akan datang.

Berdasarkan rekod, Hassan pernah menjadi penolong jurulatih skuad Harimau Muda A dan B kepada Datuk Ong Kim Swee pada 2009 hingga 2013. Kemudian, Hassan diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad Harimau Muda C pada tahun 2014 dan 2015.

Pada tahun berikutnya, beliau sekali lagi mendapat kepercayaan pihak FAM apabila dilantik menjadi penolong jurulatih skuad Harimau Malaya dari tahun 2016 sehingga 2017.

Selain itu, Hassan juga pernah dilantik sebagai ketua jurulatih untuk kelab PJ Rangers yang beraksi di Piala FAM pada tahun 2018.

Sumber foto : FAM

Mengikut statistik musim lalu, Skuad ini menghuni tangga tercorot Liga Premier pada saingan musim 2021. FAM tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi berharap agar pemain yang beraksi dapat didedahkan dengan saingan liga supaya mereka lebih bersedia mengharungi cabaran lebih besar.

Hassan perlu menggalas tanggungjawab yang besar bagi memastikan Skuad Projek FAM-MSN ini mampu memberi saingan dalam Liga Premier 2022 nanti.