Theerathon Bunmathan pemain ke-9 terbaik Asia, Malaysia masih tiada wakil dalam senarai sejak Safiq Rahim pada 2015

646

Pemain yang bermain di kelab Buriram United dan pasukan kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan berjaya menduduki tangga kesembilan dalam anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Asia yang dianjurkan oleh Titan Sports.

Theerathon mengumpul 21 mata untuk berada yang di dalam senarai tersebut selepas kejayaan beliau membantu pasukan Thailand memenangi Piala Mitsubishi Electric AFF selepas menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir dengan aggregat 3-2.


Selain daripada beliau, dua lagi wakil Asia Tenggara turut berada dalam senarai iaitu penyerang muda skuad Singapura dan BG Pathum United, Ikhsan Fandi yang berada di kedudukan ke-17 dengan 4 mata dan penyerang yang bermain untuk skuad Vietnam dan Becamex Binh Duong, Nguyen Tien Linh menduduki tangga ke-29 dengan 1 mata.

Penyerang Tottenham Hotspur dan Korea Selatan, Son Heung-min berjaya meraih anugerah tersebut dengan 256 mata.

Diinspirasikan oleh Ballon d’Or Perancis, syarikat akhbar yang berpangkalan di China itu akan memilih
pemain bola sepak yang telah mengangkat nama mereka dengan prestasi yang cemerlang ketika bersama kelab atau negara untuk menjulang gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik Asia dan akan diundi oleh panel bola sepak yang telah berpengalaman.

Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Titan Sports, ini membuktikan bahawa pemain Asean semestinya boleh bersaing dengan pemain Asia lain yang jauh lebih hebat dan kuat.

Theerathon mengetepikan beberapa pemain ternama lain seperti dua pemain Jepun, Kyogo Furuhashi yang bermain untuk Celtic dan Wataru Endo merupakan kapten VfB Stuttgart.

Beliau membuktikan bahawa pemain bola sepak di Asia Tenggara mampu menyaingi pemain daripada negara gergasi Asia yang bermain di Eropah, walaupun beliau hanya bermain di Liga Thailand.

Disebalik kegembiraan peminat bola sepak Thailand melihat pemain kesayangan mereka tersenarai untuk anugerah tersebut, lain pula cerita buat penyokong Malaysia.

Kali terakhir pemain Malaysia tersenarai dalam anugerah itu adalah pada tahun 2015 iaitu Safiq Rahim yang menamatkan kedudukan di tangga ke-17, bersama-sama dengan Theerathon.

Selepas 8 tahun, tiada lagi pemain Malaysia yang dicalonkan untuk anugerah tersebut, menampakkan bahawa kualiti pemain Malaysia ketinggalan terutama di peringkat Asia.

Malah, pemain-pemain Thailand semakin meningkatkan kualiti mereka dengan pencalonan di dalam anugerah tersebut setiap tahun.

Ini menunjukkan bahawa bola sepak Thailand sememangnya sudah meninggalkan kita dengan begitu jauh.

Namun Malaysia kini sedang menampilkan peningkatan, lebih-lebih lagi sejak di bawah kendalian Kim Pan-gon, jadi mungkin satu hari nanti peminat dapat melihat pemain tempatan kembali dalam senarai tersebut.

Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Arif Aiman, Dion Cools, Faisal Halim dan lain-lain, dan diharapkan mereka akan mampu meneruskan legasi Safiq dalam anugerah tersebut satu hari nanti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen