Jurulatih UMF Njardvik sentiasa beri peluang buat pemain muda, Luqman Hakim ada potensi dapat minit permainan

692

Khabar angin mengenai masa depan penyerang negara Luqman Hakim akhirnya terjawab selepas
beliau berhijrah ke pasukan Liga kedua Iceland, UMF Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium,
KV Kortrijk.

Perkara itu disahkan melalui laman sosial Instagram kelab Njardvik menerusi video kedatangan Luqman ke kelab tersebut.


Terdahulu, Luqman telah bersama dengan KV Kortrijk selama 5 tahun namun gagal mendapatkan minit permainan selepas membuat 2 penampilan sahaja bersama skuad senior.

Njardvik yang bermain dalam liga kedua Iceland kini menghuni tangga teratas liga dengan 18 kemenangan, 1 seri dan 3 kekalahan dengan 55 mata selepas 22 perlawanan.

Njardvik dilatih oleh pengurus yang berusia 50 tahun iaitu Arnar Hallson menggantikan Bjarni Johannsson yang tidak menyambung kontrak setelah dua musim mengendalikan pasukan tersebut.

Hallson mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan pasukan di Liga Iceland dan pernah menjadi ketua jurulatih bersama kelab UMF Afturelding di Iceland.

Beliau juga gemar menggunakan pemain senior dan pemain muda di dalam kesebelasan utama pasukan lamanya, IR Reykjavik untuk membentuk skuad yang mantap dan berdaya saing.

Hallson sentiasa memberi peluang kepada pemain muda ketika di kelab lamanya, malah pernah memberi peluang kepada pemain berusia 14 tahun untuk bermain.

Pada musim lalu, beliau menggunakan pemain berusia 19 tahun, Vilhelm Thrainn Sigurjonsson sebagai penjaga gol utamanya yang mencatatkan 19 penampilan liga.

Untuk pasukan Njardvik pula, berdasarkan senarai 22 pemain yang dikeluarkan oleh laman web Transfermarkt pada musim lalu, purata pemain pasukan Njardvik adalah lebih muda.

Skuad Njardvik mempunyai purata umur 23.95 tahun dan pemain paling muda di dalam skuad adalah Freysteinn Ingi Gudnason yang berusia 15 tahun manakala pemain paling senior adalah Holmar Orn Runarsson yang berusia 39 tahun.

Statistik yang dikeluarkan oleh laman web tersebut menunjukkan penyerang muda pasukan Njardvik berjaya meraih lebih 1000 minit pemainan sepanjang musim 2022.

U.Bjornsson yang bermain sebagai penyerang dan berusia 18 tahun meraih 1,010 minit dalam 12 penampilan dan ini memberi petanda positif buat Luqman Hakim.

Ini menunjukkan Luqman boleh mendapatkan lebih banyak minit permainan ketika bersama skuad utama Njardvik sekiranya beliau bekerja keras untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama.

Malah, prestasi dan kualiti permainan Luqman akan meningkat sekiranya beliau berjaya meraih minit permainan dengan lebih banyak dan juga menjadi salah satu aset yang berguna buat pasukan Harimau Malaya.

Dengan penghijrahan Luqman ke Iceland memberi sinaran baru untuk mengembalikan prestasi sebenar beliau seperti beliau bermain bersama pasukan B-19 Malaysia.