TMJ jadi pengurus Harimau Malaya? Mengapa tidak – Hamidin

1,120

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut baik sekiranya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menjadi pengurus pasukan bola sepak kebangsaan.

Menurutnya, beliau ada melihat khabar angin mengenai perkara itu daripada media sosial tetapi masih belum mendengar daripada pihak TMJ.


“Jika ia perkara yang baik untuk Harimau Malaya mengapa tidak, saya mahu bola sepak negara sentiasa menaik semasa saya jadi presiden.

Setakat ini saya masih belum dengar perkara itu daripada mulut baginda tetapi jika perkara itu betul saya perlu bincang dengan semua Exco FAM,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis kesyukuran sempena kejayaannya dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA baru-baru ini.

Menurut Hamidin, beliau tidak boleh membuat keputusan mengenai pasukan kebangsaan dengan sendiri dan segala-galanya harus melalui perbincangan dengan barisan Exco.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa jawatannya di FIFA datang dengan tanggungjawab yang besar dalam memastikan bola sepak Malaysia, Asia Tenggara dan Asia terus berkembang.

“Kejayaan ini bukanlah kejayaan peribadi tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia dan saya harap ia mampu memberi kebaikan kepada bola sepak Malaysia, Asia Tenggara dan Asia.

Jawatan Presiden FAM dan Ahli Majlis FIFA juga turut melibatkan bola sepak pantai, bola sepak wanita dan juga futsal, ia bukan mudah.”

Hamidin menganggap perjalanannya masih jauh lagi dan menyasarkan untuk menaikkan lagi ranking bola sepak negara selepas ini.

Hamidin berkata, beliah masih belum berfikir untuk berundur daripada jawatan Presiden FAM kerana tugasnya untuk memartabatkan bola sepak negara masih belum selesai.