Servis Perak FC memang terbaik, tukar jersi yang rosak secepat mungkin, jadi pengajaran untuk sentiasa beli yang original
Isu mengenai jersi original dan jersi tiruan akan sentiasa menjadi topik yang hangat untuk dibicarakan oleh penyokong bola sepak Malaysia.
Malah, penjualan jersi tiruan lebih mendapat sambutan daripada jersi original kerana harga yang murah dan mudah didapati di merata tempat.
Tetapi, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Perak FC tentang kerosakan jersi original mendapat perhatian orang ramai dan memuji tindakan pantas Perak dalam menangani isu tersebut.
Terdahulu, Perak telah melancarkan jersi terbaru berjenama Cheetah yang akan digunakan dalam saingan Liga Super musim 2023.
Namun terdapat seorang penyokong memuat naik status di halaman Facebook menceritakan pengalaman buruk beliau selepas membeli jersi tersebut.
Penyokong yang membeli jersi tersebut mendakwa bahawa ada kerosakan yang menyebabkan logo pasukan Perak terkoyak sedangkan jersi tersebut dibeli hari Sabtu dan digunakan untuk kali pertama pada hari Ahad sempena perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan antara Perak dengan KL City FC dan juga tidak mengetahui cara untuk menukar jersi tersebut.
Ini menyebabkan timbul persoalan di kalangan peminat perak terhadap kualiti baju yang digunakan oleh pasukan Perak.
Namun, wakil dari pengurusan Perak tidak menunggu lama dan seterusnya membalas tentang isu tersebut dengan meminta penyokong yang mempunyai masalah kerosakan jersi untuk terus menghubungi atau datang ke pejabat Perak untuk memulangkan jersi yang rosak dan digantikan dengan jersi yang baharu.
Ini merupakan contoh yang terbaik yang dilakukan oleh Perak dalam memuaskan hati penyokong mereka seterusnya memastikan servis mereka berada di tahap yang terbaik.
Malah, Perak juga mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh penyokong mereka lebih-lebih lagi ia berlaku kepada penyokong mereka yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
Imej terhadap pasukan dan pengurusan Perak juga akan naik disebabkan respon pantas oleh wakil Perak dalam menjaga hati penyokong mereka dan boleh dijadikan contoh tentang kebaikan membeli jersi original melalui wakil yang terpilih.
Kalau membeli jersi tiruan maka servis yang diterima juga buruk dan tidak boleh diganti dengan jersi yang baru walaupun baru memakai jersi tersebut beberapa kali.
Dengan ini marilah kita memberi sokongan kepada pasukan dan kelab bola sepak dengan membeli jersi original dan menghalang jersi tiruan terus bermaharajalela di pasaran.