Selepas dipilih jadi Ahli Majlis FIFA, Hamidin lihat ada kemungkinan Malaysia anjur Piala Dunia

541

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menolak kemungkinan Malaysia menganjurkan kejohanan Piala Dunia pada masa hadapan.

Menurutnya, perkara itu boleh menjadi kenyataan dengan kerjasama pihak kerajaan kerana ia memakan kos yang besar.


“Kemungkinan itu ada tetapi kita kena tahu visi untuk kita anjurkan kejohanan itu, memang ia bagus untuk bola sepak kita.

Contohnya seperti negara jiran, Indonesia yang akan menganjurkan Piala Dunia B-20 Mei ini, mungkin kita boleh anjurkan Piala Dunia Wanita atau Piala Asia sekali lagi,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia mempunyai peluang lebih cerah untuk menganjurkan mana-mana kejohanan Piala Dunia selepas beliau berjaya menjadi salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini sukar untuk pihak Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF) untuk memasukkan kejohanan Piala AFF dalam kalendar FIFA kerana tempohnya yang panjang.

“Kita tahu kejohanan Piala AFF ini berlangsung selama sebulan, susah untuk kita masukkan ia dalam kejohanan FIFA.

Kita boleh minta untuk perbanyakkan lagi tarikh kalendar FIFA tetapi FIFA tidak boleh berikan hanya untuk negara ASEAN sahaja.”

Katanya, sekiranya lebih banyak tarikh kalendar FIFA diperkenalkan, ia boleh mengganggu perjalanan liga di banyak negara.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa FAM telah merancang beberapa perlawanan persahabatan untuk tahun ini dan ia akan dikongsikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon kelak.