Untuk bola sepak Malaysia pergi lebih jauh,kita perlu lebih ramai pemain bermain di Eropah – Zainal Abidin Hassan

358

Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berharap lebih ramai pemain-pemain muda tempatan yang berhijrah ke luar negara terutamanya Eropah untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

Beliau berkata, tahap bola sepak di Eropah adalah lebih tinggi daripada Malaysia, justeru pemain akan mendapat ilmu yang berguna ketika berkelana di rantau itu.


“Kita tahu betapa tingginya mutu bola sepak di Eropah, dan untuk Malaysia pergi lebih jauh, kita perlukan lebih ramai pemain berhijrah ke luar negara khususnya di Eropah.

Mereka boleh menimba pengalaman yang amat berharga dan kembali untuk perkuatkan pasukan kebangsaan,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perpindahan pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang dipinjamkan ke kelab Liga Iceland, UMF Njardvik secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

Katanya, selagi pemain berusia 21 tahun itu berada di Eropah, beliau yakin itu adalah satu perkara yang baik buatnya dan menasihati pemain itu untuk tidak putus asa.

Pendapat sama turut disuarakan oleh bekas rakan sepasukan Zainal, Datuk Dollah Salleh yang berpendapat perkembangan Luqman itu bermaksud bakat pemain itu masih lagi dipandang oleh kelab Eropah.

“Bagi saya itu pun satu pencapaian juga, bermakna kualitinya dipandang oleh pihak sana.

Kalau boleh kita mahukan lebih ramai lagi pemain muda kita berhijrah ke laur supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa.”

Katanya, pengalaman di Eropah dapat digunakan untuk meningkatkan lagi tahap bola sepak di Malaysia.

Terdahulu, Njardvik mengumumkan bahawa kelab itu telah mencapai kata sepakat bersama KV Kortrijk untuk meminjam Luqman selama semusim sehingga saingan musim 2023 tamat.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen