Melaka FC dan Sarawak United FC pasukan negeri, sebab tu boleh main Liga M3 terus – Yusoff Mahadi

692

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi mengakui bahawa pihaknya membenarkan pasukan Melaka FC dan Sarawak United FC untuk terus ke Liga M3 tanpa perlu melalui Liga M5 atau M4 kerana kedua-duanya merupakan pasukan negeri dan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, pihaknya harus berbuat demikian kerana tidak mahu bola sepak di negeri terbabit mati kerana tidak dapat bertanding dalam liga kompetitif.


“Kita tahu semua negeri adalah ahli gabungan FAM, dan jika kita tidak benarkan mereka bermain di Liga M3, pasukan negeri tiada tempat untuk wujudkan pembangunan.

Contoh sebelum ini adalah Perlis United FC, jika kita tidak benarkan pasukan itu bermain di Liga M3, bola sepak mereka akan mati,”

katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya harus mengubah sedikit kesesuaian liga tersebut untuk membolehkan Melaka dan Sarawak United turut serta selepas ketiadaan Liga Perdana.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pasukan Melaka yang bermain di Liga M3 musim ini adalah berlainan entiti daripada Melaka United.

“Kedua-dua pasukan ini adalah lain, pasukan Melaka boleh dianggap seperti satu entiti perniagaan yang baru.

Pemain-pemain yang ada mungkin ada yang sama daripada pasukan Melaka United tetapi pengurusannya adalah pihak lain.”

Tambahnya, hutang Melaka United sebelum ini harus dipertanggungjawabkan kepada pengurusan kelab itu dan bukannya Melaka.

Katanya, setakat ini tiada perkembangan mengenai hutang Melaka United kerana pihak terlibat hanya ‘diam seribu bahasa’.