Bukan hanya ‘post’ takziah, KDA FC turut beri sumbangan kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria, kelab lain bila lagi?
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan berita gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria dengan mengorbankan ribuan nyawa dan diburukkan lagi dengan keadaan musim sejuk yang berlaku di negara tersebut.
Kebanyakan negara bertungkus lumus menghantar pelbagai bantuan kecemasan seperti bantuan kewangan, pasukan khas penyelamat dan keperluan asas seperti makanan asas, khemah dan baju sejuk.
Kelab-kelab bola sepak turut bersimpati tentang tragedi yang berlaku dengan mengucapkan kata-kata semangat menerusi hantaran poster di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
Di saat kelab bola sepak hanya mengucapkan takziah dan kata-kata motivasi, Kedah Darul Aman FC mengambil langkah berbeza dengan menyumbang bantuan kewangan untuk meringankan beban mangsa gempa bumi berkenaan.
Malah, bantuan yang diberikan oleh Kedah pastinya dihargai kerana banyak kerosakan yang berlaku dan menyebabkan mangsa gempa bumi dipindahkan ke kawasan yang selamat kerana kerisauan berlakunya lagi kejadian gempa bumi.
Derma dan sumbangan yang dilakukan oleh Kedah perlu dicontohi oleh kelab-kelab lain supaya mangsa gempa bumi dapat menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaiknya.
Selain itu, inisiatif yang dilakukan oleh Kedah ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan kedua-dua negara tersebut dan memberi reputasi yang baik untuk kelab itu.
Malah, kelab bola sepak boleh menyampaikan bantuan menerusi tabung bencana dan mengutip wang derma dari pengurusan, pemain dan penyokong serta disalurkan kepada pihak yang berkaitan.
Ini juga menunjukkan rakyat Malaysia mengambil berat tentang situasi yang berlaku di Turkiye dan Syria.
Terdahulu, pasukan KDA FC kini berada di bumi Turki dan dilaporkan bahawa mereka tidak terkesan dengan bencana gempa bumi memandangkan mereka berada jauh dari kawasan kejadian.
Mereka juga akan meneruskan perlawanan pramusim menentang empat pasukan kelab dari tiga buah negara untuk menguji keserasian pemain dalam kesebelasan utama sebelum bermula sepak mula Liga Super musim 2023.
Dengan ini kita berharap semakin banyak kelab menyampaikan sumbangan dari segi kewangan atau keperluan asas supaya dapat meringankan beban mangsa bencana di Turkiye dan Syria.