Ketika kelab Liga Super masih terkial-kial sewa stadium, Real Chukai FC lanjut pajakan Stadium Mak Chili

2,442

Disaat pasukan Liga Super mempunyai isu seperti perkongsian satu stadium untuk beberapa pasukan, kelab bola sepak Real Chukai FC menjadikan stadium sebagai tempat untuk menambah pendapatan pasukan dan menjadi pusat komersial kelab.

Pasukan yang bermain di Liga M4, Real Chukai membawa berita yang positif selepas berjaya memajak stadium Mak Chili untuk digunakan sebagai stadium rasmi dalam Liga Malaysia untuk tiga tahun lagi.


Ini menunjukkan kelab bola sepak komuniti seperti Real Chukai boleh menguruskan pasukan dengan baik sejak lapan tahun penubuhannya dengan hanya memberi tumpuan pada kawasan setempat daerah Kemaman sebagai penyokong mereka.

Malah kerjasama yang diberikan oleh pengurusan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dalam menyelesaikan isu pajakan stadium merupakan peranan penting dalam memastikan Real Chukai kekal sebagai sebuah kelab yang boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Stadium Mak Chili dilengkapi dengan penggunaan rumput sintetik yang mudah untuk diselenggara, tidak bertakung air ketika hujan dan diiktiraf oleh FIFA.

Dengan kemudahan padang yang dikelola oleh pengurusan Real Chukai, mereka juga turut menyewakan padang kepada mana-mana pasukan atau pihak yang ingin menggunakannya dan ia secara tidak langsung membuatkan kelab itu menjana pendapatan.

Tidak hanya tertumpu kepada perniagaan sewa padang sahaja, mereka juga menjana pendapatan dari bidang makanan apabila membina sebuah kafe yang dikenali sebagai Dock Cafe di dalam kawasan stadium termasuk Dock Store yang menjual barangan cenderahati kelab.

Dengan fasiliti yang diuruskan sepenuhnya oleh kelab itu, ia telah berjaya menghidupkan suasana di kawasan persekitaran stadium yang menyaksikan pelbagai aktiviti riadah dapat dilakukan selain bola sepak.

Ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar seperti industri pelancongan, makanan dan perhotelan.

Ini merupakan satu inisiatif yang baik dan sebagai nilai tambah untuk kelab bola sepak dengan mempelbagaikan pendapatan dan mengukuhkan kewangan sesebuah kelab.

Sebuah lagi kelab bola sepak yang boleh dikatakan mempunyai pengurusan terbaik adalah Kerteh FC.

Sama seperti Real Chukai, Kerteh juga menjana pendapatan mereka sendiri menerusi pelbagai cabang perniagaan di bawah kelab tersebut.

Malah mereka juga kini sudah mempunyai padang sintetik sendiri yang merupakan salah satu fasa dalam projek Kerteh Sports City yang dirancang oleh kelab itu.

Usaha yang dilakukan oleh kedua-dua kelab ini boleh dijadikan sebagai contoh yang terbaik buat mana-mana kelab termasuk kelab di Liga Super untuk ikut jejak langkah walaupun mereka ini hanya kelab kerdil, tetapi mempunyai cita-cita yang cukup besar.

Pencapaian demi pencapaian yang dikecapi oleh kedua-dua kelab ini adalah bukti sekiranya sesebuah kelab itu diurus oleh mereka yang benar-benar profesional dan ‘cintakan’ bola sepak, ia pasti akan melangkah dengan lebih jauh.