Soal Kinabalu Jaguars FC tak dapat kebenaran untuk main di Stadium Likas perlu tanya MFL – Datuk Wira Yusoff Mahadi

1,014

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa isu membabitkan kelab Kinabalu Jaguars FC (KJFC) tidak dibenarkan untuk menggunakan Stadium Likas, Sabah sebagai venue home bukan berada di bawah bidang kuasa mereka.

Ini kerana menurut Yusoff Mahadi, keputusan tidak membenarkan KJFC beraksi di stadium tersebut dibuat oleh Malaysian Football League (MFL).


“Soalan itu sepatutnya ditujukan kepada MFL. Apa yang saya boleh jawab adalah pihak KJFC memaklumkan bahawa mereka tidak dapat kebenaran untuk menggunakan stadium (Stadium Likas).

Mereka sudah dapat cari stadium gentian, tapi lokasinya terlalu jauh dan ia akan memakan kos yang besar. Oleh kerana itu mereka telah ambil keputusan untuk tarik diri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu KJFC yang merupakan antara pasukan pilihan pada saingan Liga M3 musim lalu telah mengejutkan ramai apabila membuat keputusan untuk menarik diri dari bersaing pada musim ini dek masalah venue.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KJFC iaitu Adzhar Mohamad yang berkata mereka tidak dapat menggunakan stadium tersebut kerana MFL hanya membenarkan dua pasukan sahaja menggunakan satu venue iaitu Sabah FC dan Sabah FC II.

Bagaimanapun persoalan timbul mengapa KJFC dihalang untuk menggunakan Stadium Likas sedangkan dua venue lain iaitu Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan Stadium Muhammad IV masing-masing akan digunakan lebih dua pasukan.

Stadium Bola Sepak KL bukan sahaja akan menjadi home KL City FC dan KL City FC II tetapi juga home kepada PDRM FC, PDRM FC II dan KL Rovers FC.

Manakala Stadium Muhammad IV pula akan menjadi home kepada Kelantan FC, Kelantan FC II serta Kelantan United FC dan Kelantan United FC II.

Dalam pada itu, Yusoff Mahadi turut mengakui terdapat masalah pembayaran wang hadiah Liga M3 pada musim lalu yang masih belum dapat diselesaikan lagi berikutan pihak penaja tidak menunaikan janji.

“Kita memang terkesan apabila penaja utama kita tidak beri duit sesen pun. Mereka janji nak bayar tapi sehingga ke hari ini mereka masih belum tunaikan janji mereka. Jika mereka bayar masalah ini tidak akan timbul.

Susulan itu kita kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penaja ini kerana adalah syarikat dari Singapura.”

Beliau bagaimanapun telah memaklumkan kepada pasukan yang berkaitan dan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah itu sebaik sahaja mereka dapat penaja baru nanti.