Kenapa Stadium Likas tak boleh dikongsi lebih 2 pasukan sedangkan Stadium KL & Stadium Muhammad IV boleh?

811

Baru-baru ini kelab Kinabalu Jaguars FC (KJFC) telah mengejutkan ramai apabila mengumumkan penarikan diri mereka dari saingan Liga M3 untuk musim 2023 kerana tidak boleh lagi berkongsi Stadium Likas, Sabah.

Keputusan itu terpaksa dibuat bagi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang hanya membenarkan satu venue untuk kegunaan dua pasukan sahaja iaitu Sabah FC dan Sabah FC II (Liga Simpanan).


Bagaimanapun, kini timbul persoalan mengapa MFL boleh membenarkan Stadium Bola Sepak Kuala  Lumpur, Cheras dan Stadium Muhammad IV, Kelantan digunakan lebih dari dua pasukan, sedangkan Stadium Likas tidak dibenarkan melakukan perkara sama?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard dalam kenyataannya kepada media menyatakan tiada masalah untuk Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dikongsi bersama PDRM FC sekiranya jadual perlawanan disusun dengan rapi.

Mungkin secara kasarnya, peminat hanya akan melihat dua pasukan sahaja akan beraksi di stadium tersebut namun realitinya stadium itu turut dikongsi oleh skuad Liga Simpanan kedua-dua pasukan sekaligus menjadikan sebanyak empat pasukan.

Pada masa sama, sebuah kelab semi-profesional iaitu KL Rovers FC akan turut menggunakan stadium yang sama sekaligus menjadikan lima pasukan akan guna stadium yang sama.

Sebuah lagi stadium yang digunakan lebih dari dua pasukan adalah Stadium Muhammad IV yang mana ia akan turut digunakan oleh Kelantan II dan Kelantan United II sekaligus menjadikan empat pasukan akan guna stadium tersebut.

Tindakan MFL tidak membenarkan KJFC untuk bermain di Stadium Likas adalah satu tindakan yang baik kerana mahu menjaga kualiti padang berikutan ia akan digunakan oleh skuad utama Sabah dan skuad Liga Simpanan.

Namun mengapa ia melibatkan KJFC sahaja sedangkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Stadium Muhammad IV boleh dikongsi lebih dari dua pasukan? Adakah ini satu tindakan ‘double standard’ kepada KJFC?

Dalam pada itu, isu membabitkan kualiti padang sering menjadi topik hangat yang diperkatakan bukan sahaja dalam kalangan pemain tetapi juga penyokong.

Ini kerana untuk memastikan sesebuah perlawanan bola sepak itu berlangsung dengan lancar dan menarik, keadaan padang yang baik memainkan peranan yang cukup penting.

Ia bukan sahaja dapat menjadikan corak permainan lebih menarik, tetapi juga ia mampu mengurangkan risiko pemain mengalami kecederaan dek keadaan padang yang teruk.

Tidak keterlaluan juga jika hendak mengatakan bahawa keadaan padang yang teruk mampu memberi kesan kepada keputusan perlawanan walaupun peratus itu hanya kecil.

Oleh sebab itu, untuk memastikan keadaan padang berada dalam kondisi terbaik sebelum perlawanan, ia tidak boleh digunakan terlalu kerap dalam tempoh yang singkat kerana rumput memerlukan masa untuk pulih selepas digunakan.

Jadi, adakah akan ada perubahan atau stadium alternatif yang akan digunakan oleh kesemua pasukan ini nanti? Atau mereka akan tetap bermain di stadium yang sama? Sama-sama kita tunggu.