Dari 30k ke 100k, Marselino Ferdinan berjaya tambah pengikut Instagram KSMK Deinze, peminat bimbang jadi ‘alat tambah followers’

186

Peminat bola sepak Indonesia baru-baru ini teruja dengan kejayaan pemain muda berbakat negara itu, Marselino Ferdinan yang berhijrah ke kelab KSMK Deinze yang berpangkalan di Belgium.

Terdahulu, Merselino telah menandatangani kontrak bersama pasukan yang bermain di liga kedua Belgium itu selepas beraksi cemerlang bersama Persebaya Surabaya pada musim lalu.


Beliau dianggap sebagai salah seorang bintang masa depan Indonesia, dan sudah mempunyai 12 kaps bersama pasukan kebangsaan walaupun baru berusia 19 tahun.

Penghijrahan beliau ke Belgium dilihat sebagai satu peningkatan dalam kariernya dan ramai yang gembira kerana bakat pemain itu diperakui oleh kelab Eropah.

Namun ianya menjadi persoalan apabila dikhabarkan bahawa Marselino hanya dijadikan sebagai ‘alat’ untuk menambah pengikut kelab di media sosial.

Ini kerana, selepas beliau diumumkan sebagai pemain kelab itu pada 1 Februari lalu, pengikut Instagram kelab itu meningkat mendadak daripada kira-kira 10 ribu kepada lebih 30 ribu.

Kini selepas seminggu beliau berada di sana, akaun Instagram KSMK Deinze kini mempunyai lebih 100 ribu pengikut, melebihi pengikut di kebanyakan kelab-kelab lain.

Bagaimanapun, ia tidak mengejutkan kerana pemain itu sendiri mempunyai hampir satu juta pengikut di laman Instagramnya, dan sudah pasti sebahagiannya mahu mengikuti perkembangan beliau melalui akaun kelab baharunya itu.

Taktik menambah pengikut di media sosial dengan merekrut pemain sebagai salah satu taktik pemasaran sudah menjadi kebiasaan oleh kelab bola sepak di seluruh dunia.

Ia juga digunakan untuk menarik minat penaja disebabkan populariti yang dimiliki seseorang pemain di negara asalnya, melebihi populariti kelab yang diwakilinya.

Namun, minit permainan yang bakal diperoleh oleh Marselino juga menimbulkan isu dan persoalan leh sebilangan penyokong Indonesia.

Ini kerana sudah ramai pemain dari Asia Tenggara yang gagal bersaing untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama malah terpaksa berhjrah ke kelab lain untuk mencari minit permainan yang lebih banyak.

Sebagai contoh, pemain muda Malaysia, Luqman Hakim berhijrah ke KV Kortrijk selepas ditawarkan kontrak selama 5 tahun untuk bersama dengan kelab yang bermain di liga utama Belgium itu.

Namun selepas tiga tahun, Luqman gagal mendapatkan minit permainan yang secukupnya selepas hanya melakukan dua penampilan bersama skuad utama dan banyak memanaskan bangku simpanan.

Malah, beliau terpaksa berhijrah ke pasukan UMF Njardik yang bermain di dalam liga kedua Iceland baru-baru ini.

Situasai seperti inilah yang menjadi kebimbangan penyokong Indonesia kerana Marselino merupakan satu aset yang cukup bernilai buat negara itu.

Sekiranya beliau sering ‘diperam’ di bangku simpanan dan tidak mendapat minit permainan yang mencukupi, dikhuatiri beliau akan gagal untuk meningkatkan lagi kualiti dan bakat yang beliau miliki.

KSMK Deinze pula pastinya gembira kerana mereka berjaya menaikkan pengikut di laman sosial mereka serta populariti kelab itu dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia dengan hanya membawa masuk seorang pemain.

Mereka juga turut menyambut kejayaan mendapat 100 ribu pengikut di laman sosial dengan menghadiahkan satu jersi yang ditandatangani oleh pemain kepada seorang penyokong bertuah.