Mungkin ambil masa lengkapkan proses naturalisasi saya kerana kerajaan berubah – Paulo Josue

621

Kapten KL City FC, Paulo Josue bersedia untuk berbakti kepada Malaysia sekiranya ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berhasrat untuk menggunakan khidmatnya.

Menurutnya, buat masa ini beliau tidak mengetahui mengenai perkembangan proses naturalisasinya yang sedang diuruskan oleh pihak pengurusan.


“Jika saya menjadi pemain tempatan, saya berasa berbangga sekiranya dipanggil mewakili negara ini.

Namun saya tiada maklumat mengenai proses berkenaan setakat ini, sekarang kerajaan sudah lain jadi ia mungkin mengambil masa untuk melengkapkannya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini, Harimau Malaya melaporkan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata bahawa proses naturalisasi pemain itu dan seorang lagi pemain iaitu Romel Morales akan dilengkapkan sebelum musim 2023 bermula.

Dalam pada itu, Josue berkata bahawa persiapan KL City menjelang musim baharu masih lagi belum berada di tahap yang dikehendaki.

Beliau mengakui masih perlu memperbaiki keserasian dengan pemain-pemain baharu, terutama di bahagian serangan.

“Kami masih cuba memahami antara satu sama lain, tetapi kami masih ada lagi masa dengan beberapa perlawanan persahabatan lagi selepas ini.

Mereka yang baru tiba juga adalah pemain yang bagus jadi saya yakin tiada masalah untuk mereka menyesuaikan diri sebelum musim bermula.”

Menurut Josue, beliau berharap dapat membawa KL City sekali lagi layak ke pentas Piala AFC selepas kempen yang cemerlang dalam kejohanan itu musim lalu.

Beliau menyasarkan untuk membawa KL City sejauh mungkin dalam saingan liga dan juga bersaing untuk mendapatkan piala.