Yohandry Orozco batalkan persetujuan sertai kelab Colombia, buat ‘u-turn’ ke Selangor FC, apa puncanya?

5,710

Bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2023, Selangor FC telah memperkuatkan pasukan mereka dengan membawa beberapa pemain import seperti Rauf Salifu, Noor Al-Rawabdeh dan Ayron del Valle.

Terdapat khabar angin yang mengatakan kelab itu akan membawa masuk seorang lagi pemain iaitu pemain tengah Venezuela, Yohandry Orozco sebagai pemain import terakhir.


Walaubagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini sebenarnya telah mencapai persetujuan untuk menyertai kelab Colombia, Atletico Bucaramanga pada 2 Februari lalu, yang mana telah diumumkan oleh kelab itu sendiri di laman sosial mereka.

Namun, secara tiba-tiba kelab itu mengumumkan semalam bahawa pemain yang mempunyai 25 kaps kebangsaan itu tidak akan menyertai mereka kerana mempunyai tawaran daripada luar negara.

Menurut laporan media dan wartawan sukan di negara itu, Orozco membuat pusingan U dan tidak meneruskan hasrat awalnya untuk menyertai Atletico Bucaramanga kerana menerima tawaran daripada Selangor FC.

Persoalannya kini, apakah faktor yang membuatkan Orozco memilih untuk membatalkan niat awalnya untuk bermain di Colombia dan memilih untuk ke Selangor? Mungkinkah menerima tawaran yang lebih lumayan atau mahukan cabaran baharu di Asia?

Untuk rekod, sepanjang kariernya, beliau hanya pernah bermain di kelab Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan sahaja.

Hal ini dapat dikaitkan dengan perpindahan Mahmoud Al-Mardi ke Negeri Sembilan FC yang terbatal selepas beliau memilih untuk bermain bersama kelab Kuwait, Qadsia SC atas sebab ingin mencuba cabaran yang baru.

Isu-isu seperti ini sudah pasti membuatkan penyokong berasa kecewa dengan meletakkan harapan yang tinggi dengan beranggapan bahawa pemain yang baru akan membawa harapan dan nafas yang baru kepada pasukan kegemarannya.

Namun begitu, semuanya terletak pada diri pemain itu sendiri yang mana aksi yang baik sudah pasti tidak dapat dipersembahkan sekiranya tidak berada di persekitaran yang diingini.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa segelintir pemain yang berhijrah ke liga lain adalah atas sebab ingin mencabar diri dan bukan kerana wang semata.

Kesimpulannya, penampilan pemain dalam menyarung jersi pasukan yang baru ini pasti dinanti-nantikan oleh penyokong dan media bagi memastikan pemain itu dapat membuktikan dirinya atau sebaliknya.

Dengan kehadiran Orozco, Selangor akhirnya melengkapkan barisan pemain import mereka seramai lapan orang seperti yang diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon sebelum ini.

Selain daripada tiga pemain yang disebut di atas, Selangor juga membariskan Yazan Al-Arab, Alex Agyarkwa, Hein Htet Aung dan Richmond Ankrah sebagai pemain import mereka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen