Atta Halilintar mahu Liga 1 Indonesia ikut jejak langkah Liga Super

1,926

Bola sepak merupakan sukan utama di Indonesia dan Malaysia dan kedua-dua negara ini mempunyai sejarah yang cukup panjang apabila melibatkan bola sepak dan apa jua jenis sukan.

Namun sukan yang sentiasa menjadi perbualan ramai peminat Indonesia sepanjang tahun sudah semestinya liga bola sepak domestik dan tidak dapat dinafikan juga bahawa perseteruan itu turut berlanjutan sehingga ke kelab-kelab yang beraksi di kedua-dua liga iaitu Liga 1 Indonesia dan Liga Super Malaysia.


Bagaimanapun sejak dua tahun lalu, kualiti bola sepak Malaysia semakin meningkat naik, manakala kualiti bola sepak Indonesia pula tampak seakan-akan terbantut dek pelbagai masalah dan insiden.

Perkara ini turut diakui oleh pemilik kelab di Bekasi City FC yang beraksi di Liga 2 Indonesia iaitu Atta Halilintar yang juga merupakan YouTuber terkenal di Indonesia.

Atta dalam satu kenyataan medianya baru-baru ini dengan terbuka memuji kualiti Liga Super Malaysia dan menuntut agar liga bola sepak di Indonesia menjadi setaraf dengan liga dari negara jiran.

Beliau juga menuntut satu gerakan dilakukan bagi mengubah landskap bola sepak di negaranya menjadi lebih maju dan profesional.

Dunia bola sepak Indonesia kini sedang rancak apabila Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) akan melantik Presiden baru selepas Mochamad Iriawan mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu untuk penggal 2023-2027.

Berikutan itu, ramai individu berpengaruh dan berpengalaman dalam dunia bola sepak mahu merebut kerusi ‘panas’ itu dan salah seorangnya adalah bekas Pengerusi Inter Milan iaitu Erick Thohir.

Erick merupakan seorang figura yang cukup terkenal dalam dunia bola sepak kerana beliau juga merupakan pemilik kelab Persis Solo dan pemilik bersama Oxford United serta pakar dalam selok-belok bola sepak.

Bola sepak Indonesia sejak kebelakangan ini mengalami detik-detik hitam apabila beberapa insiden berlaku termasuk insiden di Stadium Kanjuruhan yang telah mengorbankan ratusan nyawa dek rusuhan penyokong.

Dalam pada itu, bola sepak Malaysia pula semakin memperlihatkan perkembangan yang cukup positif sejak penswastaan liga dibuat dan berdasarkan ranking semasa, Liga Super Malaysia kini berada pada kedudukan pertama di rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Walaupun realitinya kualiti bola sepak Malaysia belum setaraf dengan kualiti bola sepak di Thailand, namun Malaysia kini berada di landasan tepat dan jika perkembangan positif ini berterusan tidak mustahil Malaysia akan menjadi kuasa besar bola sepak di ASEAN nanti.

Musim lalu bola sepak Malaysia telah mencipta sejarah tersendiri apabila dua kelab berjaya cemerlang di pentas Asia dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mara ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL), manakala KL City FC pula berjaya menjadi naib juara Piala AFC.

Disebalik kejayaan menakjubkan kelab Malaysia, namun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutamanya fasiliti pasukan dan juga menghapuskan masalah tunggakan gaji yang saban tahun berlaku.

Bagaimanapun, kualiti liga yang semakin meningkat juga telah berjaya menarik ramai pemain-pemain dari luar negara yang sebelum enggan beraksi di Malaysia kerana mendakwa liga gred rendah, tapi kini berpusu-pusu yang mahu bermain di sini.

Biarpun penyokong kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia sering bertelagah, namun kedua-dua penyokong mempunyai harapan yang sama iaitu mahu melihat bola sepak di negara masing-masing maju.