Dulu mak tak bagi pergi stadium kerana bimbang pengaruh buruk, lepas tengok Perak main terus nak jadi pemain – Liew Kit Kong

2,083

Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong mengakui beliau pernah dihalang oleh ibunya daripada menonton perlawanan bola sepak di stadium ketika kecil kerana bimbang pengaruh yang buruk.

Bekas pemain Perak itu berkata, beliau kali pertama menonton perlawanan bola sepak di stadium pada tahun 1998 iaitu perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Perak dan Negeri Sembilan ketika berusia 19 tahun.


“Masa itu saya beritahu ibu saya ada kawan yang ajak menonton perlawanan bola sepak di stadium, dia membenarkan saya dengan syarat pulang terus ke rumah selepas perlawanan.

Saya berasa amat teruja melihat suasana di dalam stadium dan ketika itulah saya beritahu kawan saya bahawa saya ingin menjadi pemain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, sebelum itu beliau pernah mendapat tawaran untuk bermain bola sepak dengan kelab NS Cempaka FC tetapi menolak kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Selepas daripada itu, kariernya bermula apabila menyertai sesi pemilihan yang dilakukan oleh Perak dan berjaya terpilih.

Sementara itu, beliau mengakui bahawa lebih menikmati kariernya ketika berada di Kedah, yang disertainya daripada Perak pada tahun 2002 hingga 2003.

“Saya pun tak tahu tetapi saya lebih suka ketika berada di Kedah berbanding Perak, saya tiada masalah dengan kedua-dua pasukan, cuma saya lebih suka ketika di Kedah.

Saya masuk Kedah ketika di bawah kendalian Azraai Khor dan memenangi Liga Perdana bersama mereka.”

Sementara itu, beliau menganggap bahawa mendiang Karl-Heinz Weigang merupakan seorang jurulatih yang paling tegas dalam kariernya.

Katanya, aura yang dimiliki oleh jurulatih dari Jerman itu membuatkan semua orang ‘seram’ akan beliau.