Peminat letak KPI terlalu tinggi untuk Perak FC?

418

Tahun baru pasti datang dengan azam yang baru, yang mana sudah pasti bagi rata-rata peminat sudah meletakkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk pasukan kesayangan mereka pada saingan Liga Super musim ini.

Peminat Perak FC juga tidak terkecuali kerana bagi mereka tahun 2023 adalah satu pemulaan baru buat mereka apabila pasukan itu tidak lagi berdepan masalah selepas diambil alih oleh XOX Berhad.


Keterujaan peminat The Bos Gaurus dapat dilihat apabila semakin ramai peminat kembali turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Namun disebalik keterujaan itu, mereka secara tidak langsung dilihat seolah-olah meletak harapan dan KPI terlalu tinggi buat pasukan mereka yang baru dibentuk oleh ketua jurulatih Lim Teong Kim.

Pasukan Perak boleh dikatakan antara pasukan terawal yang menjalani latihan pra-musim dengan majoriti pemain adalah pemain muda.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Teong Kim pada awal pelantikannya telah memaklumkan bahawa tugas beliau adalah untuk membina semula pasukan dari bawah.

Sejak mengendalikan pasukan, beliau telah menandatangani ramai pemain muda dan melepaskan pemain-pemain senior kerana mereka tiada dalam perancangannya.

Boleh dikatakan Perak sudah pun mengharungi banyak perlawanan persahabatan dan keputusan kurang memberangsangkan itu mula menimbulkan kebimbangan para peminat.

Malah beberapa perlawanan terakhir ini juga menyaksikan mereka bergelut untuk memperoleh kemenangan dan perkara ini sebenarnya tidak langsung membimbangkan Teong Kim kerana beliau berkata pemain-pemainnya semakin menunjukkan peningkatan dan berjaya bermain mengikut taktikal yang diterapkannya.

Melihat pada perancangan beliau, pasukan itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun untuk menjadi sebuah skuad yang ampuh.

Perkara ini nyata kurang menyenangkan segelintir peminat yang mahu pengurusan membawa masuk pemain-pemain berkualiti bagi memastikan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan lain dalam saingan liga nanti.

Salah sebuah kelab peminat Perak berkata mereka akan memberi sokongan padu buat pasukan kesayangan dengan turun ke stadium dan membeli barangan orignal kelab, tapi mereka juga mahukan pasukan mendapat keputusan positif dalam perlawanan.

Apa yang diluahkan oleh peminat itu ada juga logiknya kerana peminat pastinya mahu menyaksikan perlawanan yang berkualiti dengan keputusan positif sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan buat kelab tercinta.

Hadir dengan ramai pemain muda dalam skuad utama menyebabkan ada peminat yang mengatakan musim ini Perak seolah-olah menghantar dua pasukan B-23 (Liga Super dan Liga Simpanan).

Lima perlawanan awal liga nanti akan menjadi penting buat skuad Teong Kim kerana jika tiada keputusan positif, kemungkinan besar peminat akan semakin kurang turun ke stadium akan berlaku.

Tetapi jika mereka berjaya peroleh keputusan positif, jumlah peminat yang turun ke stadium pastinya akan meningkat naik dengan mendadak.

Apa pun peminat seharusnya percaya pada proses (trust the process) kerana Kota Rom Tidak dibina dalam sehari, jadi sifat sabar itu sangat penting buat peminat.

Jika peminat dapat berbuat demikian, nescaya dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu Perak akan kembali menjadi salah sebuah pasukan gergasi utara.

Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya mengapa pengendali lebih gemar guna pemain muda kan? Ini kerana Teong Kim mahu menerapkan disiplin dan ‘work-ethic’ tinggi kerana mereka masih muda dan mudah untuk dibentuk.

Peminat harus faham bahawa kejayaan tidak datang bergolek, malah ia perlu diusahakan secara konsisten dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, baru-baru ini ketika Perak menentang KL City FC dalam kejohanan Piala Wilayah telah menyaksikan ribuan peminat hadir bagi memberikan sokongan dan walaupun kalah, pemain nyata gembira dengan sokongan padu peminat dan mereka dilihat telah pergi ke tempat peminat bagi mengucapkan terima kasih selepas tamat perlawanan.

Jadi, kesimpulannya peminat juga harus bersikap realistik dan tidak meletak harapan terlalu tinggi dengan keadaan pasukan ketika ini kerana bimbang diri sendiri akan kecewa.

Ingat, trust the process!