Atlet OKU Kuala Lumpur tak pernah dapat insentif macam di negeri lain buatkan ramai yang berhijrah – Faidurrida Yusoff

268

Pegawai Pembangunan Sukan OKU Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faidurrida Yusoff meluahkan kekecewaannya kerana atlet OKU daripada Kuala Lumpur tidak dipandang seperti di negeri-negeri lain.

Menurutnya, negeri lain mempunyai Exco sukan sendiri yang akan menjaga kebajikan atlet-atlet di negeri tersebut, sedangkan atlet OKU Kuala Lumpur jarang sekali dipandang walaupun mencatat banyak pencapaian dan kejayaan.


“Di Kuala Lumpur tiada Exco sukan, jadi dari segi kewangan memang agak terbatas, di mana atlet kita selalunya tidak pernah mendapat insentif untuk kejohanan Para Sukma walaupun memenangi pingat emas.

Disebabkan itu ramai atlet OKU Kuala Lumpur yang lari ke negeri lain untuk mendapatkan keistimewaan di luar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, kebanyakan atlet OKU adalah dari mereka yang dalam golongan yang susah, dan kebiasaannya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan.

Katanya, sekiranya mereka diberikan fokus oleh pihak berwajib, sudah tentu lebih ramai yang berminat untuk melibatkan diri dalam sukan.

“Saya harap kita dapat sebarkan lagi aktiviti yang diadakan oleh Jabatan Belia dan Sukan, serta kerjasama oleh agensi Kerajaan dan pihak swasta juga korporat untuk sama-sama menganjurkan program.

Kita sedia maklum bahawa di kejohanan Paralimpik sudah ramai atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia, ini pastinya dapat memberi semangat kepada kita untuk mencari lebih ramai lagi bakat baharu.”

Tambahnya, selain daripada menganjurkan program sukan, pihaknya juga turut menjalankan program rekreasi seperti berkhemah dan mendaki bukit untuk golongan OKU.

Ini katanya, bagi memastikan lebih ramai golongan OKU yang terlibat dalam aktiviti sihat.

Faidurrida berharap bahawa atlet-atlet OKU di negara ini terutama di Kuala Lumpur lebih diberi perhatian dan dibela untuk memastikan masa depan sukan OKU di negara ini terus cemerlang.