Pahang Rangers dan JDT pencabar terkuat, tetapi Selangor MAC mampu kekalkan kejuaraan – Fariq Muhd

180

Kapten Selangor MAC, Fariq Muhd percaya pasukan itu mampu mengekalkan kejuaraan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada musim ini walaupun berdepan tentangan hebat daripada Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, beliau melihat perkara yang positif dalam pasukan sepanjang tiga bulan menjalani sesi latihan serta selepas menjalani beberapa perlawanan persahabatan.


“Untuk musim ini kami mahu kekalkan kejuaraan dan memastikan pasukan berada di satu tahap yang lain bagi meningkatkan kualiti futsal di Malaysia.

Setakat ini persediaan berada dalam keadaan yang baik, keserasian antara pemain dapat dilihat dan semua sudah tidak sabar untuk mulakan musim,”

katanya.

Beliau melihat bahawa para pemain mudah faham dengan gaya permainan yang diterapkan oleh jurulatih baharu, Edgar Baldasso.

Katanya, berbaki seminggu lagi sebelum saingan liga bermula, mereka akan menumpukan perhatian untuk memperbaiki tahap fizikal dan mental pasukan.

Sementara itu, Amirul Sugito pula menyasarkan untuk mendapat panggilan kebangsaan musim ini dengan menunjukkan kecemerlangan bersama pasukan.

Bekas pemain Selangor TOT itu berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya itu.

“Di sini ada perbezaan sedikit kerana kita dibimbing oleh jurulatih dari luar negara jadi banyak taktikal baru yang diajar.

Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kita harus belajar menyesuaikan diri dengan cepat sebelum musim bermula.”

Sementara itu beliau mengakui Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim akan menjadi pencabar terhebat musim ini berdasarkan para pemain yang dimiliki kedua-dua pasukan.

Namun beliau percaya Selangor MAC mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu.