Pahang Rangers dah bersedia 110 peratus, saya ada pemain-pemain terbaik dunia! – Gerard Casas
Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas merasakan pasukannya sudah bersedia 110 peratus untuk mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang akan bermula 18 Februari ini.
Beliau berkata, persiapan selama dua bulan sudah cukup buat anak buahnya dan beliau gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka.
“Saya sentiasa bersedia, saya yakin dengan apa yang telah kami lakukan, pemain saya juga tahu apa yang saya mahukan, saya ada pemain-pemain terbaik di dunia.
Kami ada pramusim yang positif, persediaan kami memang baik dan pemain semua menunjukkan peningkatan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau mengakui terpaksa melakukan sedikit perubahan kepada gaya permainan pasukan selepas kehilangan beberapa pemain sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau melihat saingan pada musim ini akan menjadi lebih sengit dengan penambahan kuota import kepada dua pemain.
“Ada empat pasukan yang menggunakan dua pemain import dan jurulatih import dan ada beberapa pasukan yang mempunyai pemain tempatan yang hebat.
Saya lihat ada lima pasukan yang berada di tahap yang lebih tinggi, tetapi pasukan lain juga bagus, saya lihat persaingan akan lebih terbuka musim ini.”
Dalam pada itu, beliau gembira apabila pasukannya akan bermain di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) semula pada musim ini.
Katanya, ini adalah satu berita baik buat pasukannya yang tidak perlu bergerak dengan kerap serta penyokong yang boleh menyaksikan perlawanan di home.