Saya tak ‘goyang’ mana-mana pasukan, mahu bawa Pahang Rangers jadi juara – Ridzwan Bakri

261

Pemain Pahang Rangers, Ridzwan Bakri tidak gentar kepada mana-mana pasukan dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan tekad mahu menjadi juara pada musim ini.

Beliau percaya kerjasama dan keserasian yang ada pada para pemain serta semangat yang ditunjukkan ketika latihan pramusim.


“Saya tak fikir siapa pasukan pilihan, siapa pasukan yang kuat, saya tak ‘goyang’ dengan mana-mana pasukan.

Saya percaya dengan kerjasama kami, dan kami belajar daripada kelemahan sepanjang persiapan pramusim,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, mereka perlu memperbaiki lagi fokus sepanjang perlawanan dan tidak terlalu yakin apabila menentang pasukan lawan.

Beliau mengakui kehilangan beberapa pemain pada musim ini sedikit dirasai tetapi percaya dengan kemampuan pemain yang ada.

Sementara itu, kapten pasukan, Akmarulnizam Idris menganggap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai salah satu pencabar terkuat dalam liga musim ini.

“JDT memang satu pasukan yang sangat kuat, pada pendapat saya mereka adalah salah satu pencabar dalam liga nanti.

Tidak seperti tahun lalu, saya dapat rasakan musim ini saingan liga lebih mencabar kerana semakin banyak pasukan yang sama tahap, jadi kita perlu bersedia.”

Beliau berkata, Pahang Rangers kini sudah 100 peratus bersedia untuk menghadapi saingan liga.

Katanya, pasukan Pahang Rangers dibarisi oleh ramai pemain muda, dan dalam masa satu atau dua tahun lagi mereka akan menjadi lebih hebat.