Sukar berlatih bersama kerana ada pemain bekerja, tetapi inilah liga futsal utama di Malaysia – Patt Swirijit

292

Ketua jurulatih Selangor TOT United, Patt Sriwijit mengakui beliau menghadapi kekangan untuk mempersiapkan pasukannya menjelang sepak mula Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada 18 Februari ini kerana ada yang bekerja.

Katanya, persiapan kini sudah mencapai 80 peratus dan beliau sedang meneliti beberapa aspek tertentu berbaki seminggu saja lagi.


“Kami sudah berlatih banyak kali tetapi ada pemain yang bekerja jadi sukar untuk berlatih bersama dengan kerap.

Ini adalah liga futsal utama di Malaysia dan bukannya liga sosial, tetapi saya perlu faham komitmen pemain di luar padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berpendapat, saingan liga musim ini akan menjadi lebih sengit dan menarik dengan penambahan kuota import kepada dua pemain, dan semakin ramai jurulatih luar yang memeriahkan liga.

Tambahnya, ini dapat meningkatkan tahap futsal negara dan memberi kebaikan buat pasukan kebangsaan.

“Tahun ini berbeza dengan tahun lalu, saya jangkakan liga semakin baik dan ini adalah tahun yang baik untuk futsal di negara ini.

Saya lihat kehadiran pemain import dapat membawa arena futsal Malaysia ke satu tahap yang lebih baik.”

Menurutnya, beliau menyasarkan untuk berada di kedudukan dua teratas walaupun pasukannya dibarisi ramai pemain muda 

Selangor TOT United berada di dalam kumpulan B dengan Johor Darul Ta’zim, KL City FC, Kuala Lumpur, PFA Odin Sarawak, Selangor MAC dan Shah Alam City.