Atas kertas memang ada pasukan pilihan tetapi ketika perlawanan tak dapat jangka – Yazid Kamaruzaman
Pemain Selangor TOT United, Yazid Kamaruzaman percaya dengan kemampuan pasukan itu memberi saingan kepada kelab-kelab pilihan dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini.
Menurutnya, walaupun kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor MAC dan Pahang Rangers merupakan pasukan pilihan, Selangor TOT United kini sedang cuba mengejar dan telah melakukan dengan baik setakat ini.
“Kita boleh nampak peningkatan pasukan ini, ia satu petanda bagus sebelum musim bermula.
”Di atas kertas mungkin ada pasukan pilihan tetapi di dalam padang semua itu tidak mainkan peranan, walaupun pasukan yang tiada taktikal pun boleh menang sekiranya berjuang bersungguh-sungguh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bekas pemain Pahang Rangers itu berkata, berbeza dengan pasukan lamanya, Selangot TOT United mempertaruhkan gabungan pemain muda dan senior dalam pasukan.
Menurutnya, pemain muda mempunyai semangat yang tinggi untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Apa yang saya lihat pemain muda ini lebih ‘lapar’ untuk mencatat kejayaan, tetapi sudah pasti ada perbezaan antara pemain muda dan berpengalaman.
Kami sudah bersedia selama dua bulan, cuba sesuaikan diri dengan sistem dan taktikal baharu di bawah jurulatih baharu, saya percaya kami sudah bersedia.”
Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan itu mempunyai sasaran jangka masa panjang, namun lebih selesa untuk fokus kepada satu demi satu perlawanan.
Setakat ini, katanya, Selangor TOT United telah melakukan persediaan yang baik dengan menganjurkan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan setiap minggu.