Selepas ‘dibuang’ KDA FC, Aidil Sharin kini jadi ‘kambing hitam’ penyokong Persikabo 1973, didesak keluar selepas sebulan

1,927

Kira-kita sebulan dilantik menjadi ketua jurulatih kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973, penyokong sudah tidak tahan dengan jurulatih yang berasal dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.

Ini kerana, beliau masih gagal membawa sebarang kemenangan untuk pasukan itu, mencatatkan dua seri dan dua kekalahan daripada empat perlawanan.


Penyokong sudah mula memasang kain rentang yang tertulis ‘Aidil Out’ serta mendesak pihak pengurusan untuk sama berundur.

Selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lalu kerana persembahan yang buruk pasukan dalam liga, karier Aidil terus berada di jalan yang sukar bersama Persikabo 1973.

Beliau mengambil alih pasukan itu ketika ia sedang dalam kejatuhan, mengharungi lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Dengan prestasi sebegitu, sudah pasti beliau memerlukan masa untuk membawa pasukan itu berada di landasan yang betul semula.

Ketika membawa Kedah dari 2019 hingga 2022 sebelum ini, beliau sememangnya mempunyai reputasi yang baik sehinggalah pada musim terakhirnya.

Itupun tidak adil untuk meletakkan segala kesalahan di bahu beliau sahaja, kerana terdapat banyak faktor lagi yang menjadi gangguan kepadanya pada musim lalu.

Beliau kini dilihat hanya dijadikan kambing hitam oleh penyokong Persikabo 1973 untuk mendesak pihak pengurusan berundur, seolah-olah prestasi pasukan yang merudum ketika ini adalah disebabkan olehnya semata-mata.

Situasinya ketika ini dilihat ibarat seperti peribahasa ‘terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau’.

Beliau yang dahulunya ‘dipersalahkan’ ketika musim terakhirnya di Kedah kini dianggap menjadi punca prestasi buruk Persikabo 1973 pula.