KJ atau TMJ, siapa yang lebih layak jadi pengurus Harimau Malaya?

528

Sejak minggu lalu peminat bola sepak tanah air kecoh di media sosial berbicara mengenai isu pengurus untuk pasukan kebangsaan selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi komen mengenai khabar angin tentang pelantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris memegang jawatan tersebut.

Hamidin dalam jawapan ringkasnya kepada media, beliau tidak menolak kemungkinan itu dengan berkata; “TMJ pengurus Harimau Malaya? Mengapa tidak”.


Ramai peminat memberi maklum balas yang pelbagai mengenai kenyataan tersebut dan ketika semua sedang rancak bercakap mengenai TMJ sebagai pengurus Harimau Malaya, kini timbul pula cadangan baru iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai pengurus skuad negara.

Ketika ini jawatan tersebut digalas oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon sejak mengambil alih pasukan itu pada 2021.

TMJ pernah menjawat jawatan Presiden FAM pada tahun 2017 dan membawa perubahan besar di dalam sistem pentadbiran FAM termasuk membawa pasukan B-23, pasukan B-19 dan pasukan B-16 tahun ke pusingan akhir Piala Asia.

Selain tugasan bersama FAM, baginda juga merupakan pemilik kelab bola sepak terkenal Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana ia merupakan sebuah kelab gergasi di rantau Asia Tenggara dan musim lalu mereka berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Bukan itu sahaja, di bawah kepimpinan TMJ juga pasukan Harimau Selatan pernah menjulang Piala AFC pada tahun 2015 dan berjaya mara ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL) 2022.

TMJ yang merupakan seorang ‘pencinta’ bola sepak turut tidak lokek untuk membantu pasukan kebangsaan menerusi pelbagai sumbangan termasuk menaja penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari rumput lembu (Cow Grass) kepada Zeon Zoysia.

Banyak lagi sumbangan TMJ terhadap bola sepak tanah air dan mungkin baginda boleh menjadi pengurus pasukan kebangsaan yang baik, sama seperti pasukan kebangsaan negara jiran Thailand iaitu Madame Pang yang bukan sahaja menjadi pengurus pasukan Gajah Perang tetapi juga merupakan pemilik kelab Port FC yang beraksi di Thai League 1.

Dalam pada itu, satu lagi nama yang kini menjadi sebutan ramai peminat adalah Khairy Jamaluddin yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu memandangkan beliau kini tiada sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan baru.

Khairy merupakan bekas Ahli Parlimen Rembau dan juga bekas Menteri Belia Dan Sukan (KBS) yang berkhidmat pada tahun 2013 sehingga 2018.

Antara sumbangan terbesar beliau ketika meneraju KBS adalah mencetuskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang telah melahirkan ramai bintang bola sepak negara.

Khairy juga pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden FAM pada tahun 2007 membuktikan bahawa beliau mempunyai kredibiliti dalam industri bola sepak.

Malah TMJ sendiri baru-baru ini telah memberi bayangan mahu menggunakan khidmat Khairy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT menjadi bukti baginda yakin dengan kemampuannya.

Kedua-dua figura ini telah membuktikan kemampuan bahawa mereka layak untuk menjawat jawatan pengurus pasukan Harimau Malaya berdasarkan pengalaman yang mereka miliki.

Namun, pemilihan pengurus pasukan perlu diteliti supaya prestasi Harimau Malaya sentiasa berada di tahap yang terbaik.