Gol Joseph Kalang Tie tak layak dicalonkan ke Puskas kerana tidak penuhi kriteria
Baru-baru ini pasukan Kuching City FC telah menjalani perlawanan pra-musim di Kemboja yang menyaksikan mereka mengatur perlawanan dengan beberapa kelab di Liga Perdana Kemboja bagi mempersiapkan pasukan sebelum saingan Liga Super membuka tirai tidak lama lagi.
Tiga pasukan menjadi pilihan Kuching City untuk menguji keserasian dan taktikal yang akan digunakan oleh jurulatih iaitu Naga World FC, Phnom Penh Crown FC dan Preah Khan Reach Svay Rieng FC.
Pada perlawanan kedua ketika Kuching menentang Phnom Penh Crown, Joseph Kalang Tie dan Abu Kamara berjaya menjaringkan gol seterusnya mengakhiri perlawanan dengan keputusan 2-2.
Walaupun perlawanan berakhir dengan keputusan seri, namun satu momen yang menjadi sebutan adalah jaringan menakjubkan Joseph apabila melakukan rembatan jarak jauh iaitu 70 meter untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Gol tersebut turut menarik perhatian Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang mengeluarkan kenyataan pihaknya mahu meneliti rakaman gol tersebut bagi memastikan ia menepati beberapa syarat sebelum bersetuju untuk mencalonkan gol tersebut ke Anugerah FIFA Puskas.
Bagaimanapun, disebalik keterujaan ramai mengenai gol tersebut, rasanya pihak FAM lebih arif mengenai perkara itu kerana gol tersebut sebenarnya tidak layak untuk dicalonkan kerana ia hanya membabitkan perlawanan persahabatan yang tidak diiktiraf oleh FIFA.
Sebagai rujukan, salah satu syarat utama untuk mencalonkan anugerah Puskas adalah gol yang dijaringkan perlu bermain untuk perlawanan rasmi yang dianjurkan oleh FIFA atau FAM seperti Liga Super.
Sekiranya gol Joseph dikira sebagai calon untuk anugerah Puskas, maka lebih banyak pasukan yang bermain dalam liga sosial akan menghantar permohonan ke FAM kerana gol yang dijaringkan oleh pasukan mereka ada kalanya lebih menarik walaupun bermain di dalam perlawanan persahabatan.
Terdahulu, Faiz Subri telah mengharumkan nama negara apabila berjaya menjulang trofi Puskas selepas jaringannya ketika menentang Pahang pada tahun 2017 mendapat perhatian dunia dan menjadi satu-satunya pemain bola sepak Malaysia yang berjaya menjulang trofi tersebut.
Ia adalah anugerah yang cukup berprestij, oleh itu FIFA sendiri telah menetapkan syarat atau kriteria tertentu bagi memastikan imej anugerah itu terpelihara.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan gol yang dijaringkan oleh Joseph sememangnya cukup menakjubkan, malangnya ia tidak boleh dicalonkan ke anugerah Puskas.
Harap saingan Liga Super musim ini kita akan dapat menyaksikan gol-gol cantik dijaringkan supaya kita akan mempunyai calon lagi ke anugerah Puskas.