PDRM FC beraksi di Liga Super bukan hanya sekadar pelengkap liga!

400

Ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Ab Aziz menegaskan bahawa kehadiran mereka di Liga Super musim ini bukan hanya sekadar pelengkap liga tetapi mahu jadi pasukan yang mampu beri saingan sengit kepada semua pasukan.

Menurut Azzmi, walaupun PDRM tidak mempunyai bajet besar untuk berbelanja musim ini, namun mereka tetap akan berikan yang terbaik.


“Sejak dari awal saya di sini, saya dan pihak pengurusan ada berbincang mengenai sasaran yang dimahukan oleh pihak pengurusan dan saya bersyukur kerana pihak pengurusan sangat realistik dalam perbelanjaan mereka, dan saya sendiri juga beritahu mereka ‘kualiti perlukan wang. Jika ada wang lebih pastinya kita akan pasukan yang lebih baik’.

Jadi bila kami di sini yang tidak berbelanja besar, kita tetap mahu bersaing kerana tak mahu jadi pelengkap liga saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

PDRM adalah salah sebuah pasukan yang dinaikkan ke saingan Liga Super untuk musim 2023 selepas pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) telah melakukan penstrukturan semula liga yang menyaksikan saingan Liga Perdana untuk musim ini ditunda buat sementara waktu.

Pada musim lalu, skuad yang dikenali dengan gelaran Sang Saka Biru ini mengakhiri saingan Liga Perdana di tangga keenam.

Bagi menghadapi musim baru, PDRM telah melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk ramai pemain baru bagi mengharungi saingan liga musim ini tetapi apa yang menarik adalah skuad kali ini akan turut dibarisi oleh anggota polis.

“Pasukan ini boleh dikatakan baru dua bulan bersama dan ada pemain baru sahaja bersama kita selama dua minggu tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Jika kita lihat pasukan lain mereka mempunyai pemain import dan pemain tempatan, tapi kami di sini mempunyai pemain import, pemain tempatan dan anggota polis, jadi kita ada tiga kumpulan pemain yang kita perlu ‘blend’ menjadi satu unit dan setakat ini kita tiada sebarang isu dengan pemain dan ‘bonding’ mereka juga sangat baik.”

Dalam pada itu, Azzmi juga memberitahu bahawa pemilihan pemain untuk musim ini adalah hasil perbincangan beliau dengan pihak pengurusan.

Mereka juga melakukan sesi percubaan kepada setiap pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan pemain mana yang akan ditandatangani.

Untuk musim ini, PDRM turut menandatangani semula bekas penyerang berbisa mereka iaitu Uche Agba untuk mengetuai jentera hadapan.

Selain itu, mereka juga membawa masuk pemain kebangsaan Kemboja iaitu Kyaw Min Oo yang akan menjadi general di tengah padang.

Dengan persiapan yang lengkap menjelang saingan Liga Super yang akan membuka tirainya pada 24 Februari ini, Azzmi berharap agar perjalanan pasukannya untuk musim ini akan positif.

Untuk perlawanan pertama liga, PDRM akan berkunjung ke Stadium Likas bagi menentang gergasi Sabah FC.