Saluran TV percuma, alternatif terbaik penyokong yang mahu menonton sukan tanpa batasan

2,427

Televisyen merupakan satu alat yang menjadi perhubungan bagi orang ramai menyaksikan rancangan tontonan mereka seperti berita, drama, pelbagai hiburan yang menarik dan juga sukan.

Walaupun rancangan televisyen kini boleh dilayari menggunakan peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan laptop, namun televisyen tetap menjadi pilihan kepada rakyat yang berada di luar bandar dan juga golongan warga emas.


Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital akan bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewujudkan satu saluran televisyen percuma yang akan bersiaran pada bulan April ini dengan menyediakan kandungan sukan khusus untuk rakyat Malaysia.

Fahmi Fadzil menerusi kenyataan kepada media berkata bahawa beliau sedang merancang untuk mewujudkan saluran sukan percuma di televisyen tidak lama lagi supaya peminat sukan tanah air menyaksikan atlet kebangsaan mereka beraksi secara langsung.

Inisiatif yang dilakukan oleh Fahmi pastinya membawa kebaikan dan kepada peminat sukan tempatan yang semestinya sentiasa menjadi tulang belakang kepada atlet negara.

Untuk pengetahuan, RTM telah menyediakan perkhidmatan penstriman seperti siaran Sukan RTM namun ianya hanya boleh diakses menerusi peranti mudah alih dan memerlukan capaian internet yang kuat.

Dengan siaran percuma, penduduk di luar bandar dan golongan warga emas tidak lagi ketinggalan untuk menyokong atlet-atlet Malaysia yang bertanding dalam apa sahaja kejohanan yang akan disiarkan secara langsung secara percuma.

Ia juga dapat meringankan beban dari segi kewangan kerana mereka tidak perlu lagi membayar perkhidmatan penstriman atau siaran berbayar seperti Astro dan aplikasi Sooka untuk menonton atlet sukan yang beraksi di dalam atau di luar negara.

Selain itu, siaran percuma juga memberi kemudahan kepada penyokong sukan yang berada di luar bandar kerana masalah ganguan internet yang perlahan merencatkan suasana penyokong yang sedang menonton acara sukan.

Saluran televisyen percuma ini adalah satu idea dan inisiatif yang cukup bernas dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanah air.

Oleh itu, diharap siaran yang diwar-warkan ini dapat diwujudkan dengan kadar segera kerana pada tahun ini pelbagai kejohanan membabitkan atlet negara akan berlangsung dan sudah semestinya seluruh rakyat Malaysia mahu menonton dan memberi sokongan Demi Malaysia!