Aliff Najmi akui kecewa tak dapat panggilan ke kem latihan pusat skuad B-23 negara

538

Pemain pertahanan muda negara, Aliff Najmi akui berasa sedikit kecewa apabila namanya tidak tersenarai untuk panggilan ke kem latihan pusat skuad B-23 bermula 14 hingga 19 Februari ini.

Kem latihan kendalian E. Elavarasan ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad Harimau Muda yang bakal beraksi di Sukan SEA 2023 Kemboja bermula 29 April hingga 15 Mei depan.


Walapun ‘terasa’, namun Aliff enggan putus asa dan akan terus bekerja keras untuk kembali memikat semula ketua jurulatih negara.

“Saya rasa mungkin barisan kejurulatihan nampak saya masih belum bersedia dan mungkin mereka jumpa pemain lebih baik di posisi saya atau mereka mahu cuba sesuatu yang baru.

Jika tanya saya, sejujurnya saya memang agak ‘terasa’ sebab nama saya tak ada. Saya akan cuba dengan lebih baik lagi pada perlawanan akan datang lagi supaya coach Elavarasan atau Kim Pan-gon panggil balik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, menjadi ‘kewajipan’ baginya sebagai seorang pemain bola sepak mahu menyarung jersi pasukan kebangsaan dan beliau akan terus bekerja keras bagi memastikan impiannya itu akan tercapai.

Terdahulu, Aliff juga antara beberapa pemain B-23 yang diberi peluang untuk menjalani latihan bersama skuad senior.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya pra-musim bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini, Aliff berkata semuanya berjalan dengan lancar walaupun pada mulanya bermula dengan sedikit perlahan.

“Untuk persiapan PDRM FC musim ini sedikit sukar kerana kita mula lewat daripada pasukan-pasukan lain yang berkelana di luar negara, tapi selepas beberapa perlawanan persahabatan kita dapat lihat pemain-pemain semakin serasi dan memberi komitmen yang cukup tinggi.”

Aliff juga mendedahkan bahawa beliau mendapat tawaran dari beberapa pasukan lain tetapi beliau pilih PDRM FC untuk meneruskan kariernya musim ni.

Selain bergelar sebagai pemain bola sepak profesional, beliau juga merupakan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, Aliff sedar dengan kemampuan skuad Sang Saka Biru pada musim ini dan tidak meletak sasaran terlalu tinggi kerana bersikap realistik, tapi apa yang pasti baginya adalah untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan untuk dapatkan keputusan positif.

PDRM akan membuka tirai saingan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 25 Februari ini.