Saya bukan seorang pengecut! Saya tahu apa yang saya buat dan apa yang penting adalah naikkan bola sepak Malaysia – Hamidin Amin

592

Bola sepak Malaysia ketika ini berada di landasan tepat apabila pelbagai kejayaan berjaya diperoleh pada tahun lalu termasuk pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun dan menjuarai Piala AFF B-19.

Walaupun pada saingan Piala AFF 2022 menyaksikan skuad Harimau Malaya kandas di separuh akhir, namun majoriti peminat tidak melihat perkara itu sebagai kegagalan sebaliknya memuji semangat luar biasa yang dipamerkan oleh setiap pemain negara.


Kejayaan tidak datang tanpa kegagalan! Itulah yang berlaku pada tahun Piala AFF 2020 apabila menyaksikan bola sepak tanah air ketika itu berada pada tahap terburuk apabila skuad negara bukan sahaja dilanda pelbagai masalah dan kontroversi, tetapi juga tersingkir awal.

Pada waktu itu, individu yang menjadi tumpuan sudah semestinya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjadi sasaran peminat dan banyak pihak.

Pelbagai kritikan dan tekanan dilontarkan kepada Hamidin termasuk mendesaknya untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden badan induk bola sepak itu, namun beliau tidak cepat melatah dan enggan lepas tangan.

“Ketika kita tidak layak ke separuh akhir di Singapura (Piala AFF 2020), saya tahu ramai peminat yang marah pada saya dan FAM. Saya terima kecaman itu, tapi saya berpendapat ketika itu saya tidak boleh lari dari ‘kapal’ saya sendiri kerana saya perlu ambil sikap tanggungjawab dan akan perbaiki.

Saya pernah kata sebelum ini yang saya akan pergi bila sampai masanya jadi saya bukannya seorang yang pengecut, saya tahu apa yang saya buat dan yang penting niat saya untuk naikkan bola sepak Malaysia.

Jadi dengan izin Allah SWT, kita dapat layak ke Piala Asia 2023 dan kita buat yang terbaik untuk bola sepak negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hamidin berkata, semua pihak perlu bersikap realistik dan sedar di mana skuad negara berada ketika ini.

Tambahnya lagi, apa yang penting adalah untuk melihat skuad negara memperlihatkan peningkatan dari semasa ke semasa dan terus konsisten.

Dalam pada itu, Hamidin juga menyedari mengenai hasrat dan impian besar peminat bola sepak tanah air untuk melihat Harimau Malaya layak ke Piala Dunia satu hari nanti.

“Untuk menaikkan bola sepak negara ini apa yang menjadi kesukaran adalah peminat memikirkan bila kita nak layak ke Piala Dunia. Kita perlu sedar di mana kita sekarang, dan kita perlu pentingkan prestasi skuad negara boleh meningkat dan terus meningkat dan konsisten.

Bila sampai satu masa kita boleh menghidu untuk pergi ke Piala Dunia, akan sampai masanya.”

Jelas Hamidin lagi, beliau menyasarkan untuk pasukan kebangsaan memperbaiki kedudukan ranking dari ke-25 Asia kepada ranking ke-15 bagi memastikan peluang untuk bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi seperti Bahrain, Uzbekistan, Syria, Palestin, Jepun dan beberapa lagi untuk merebut slot ke Piala Dunia berikutan penambahan kuota pasukan Asia ke Piala Dunia meningkat.

“Hanya masa yang akan menentukan dan juga pentingnya persembahan pasukan kebangsaan kena terus meningkat walaupun meningkat sedikit demi sedikit yang penting terus konsisten.

Kita kena perlu capai kedudukan ke-15 sebelum mampu untuk bersaing dengan pasukan bawah 20 dan dengan sedikit ‘luck’ mungkin kita mampu layak. Bila masanya mungkin 3-4 tahun lagi atau mungkin 8-10 tahun. Apa yang mustahak adalah prestasi pasukan kebangsaan perlu terus meningkat.”

Untuk Piala Dunia 2026, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menambah jumlah pasukan dari 32 pasukan kepada 48 pasukan daripada enam konfederasi.