FAM ada perancangan untuk adakan perlawanan persahabatan Harimau Malaya di Borneo tidak lama lagi

870

Apabila bercakap mengenai perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kebangsaan Malaysia, sudah semestinya ramai yang akan tahu bahawa perlawanan itu akan berlangsung di home of Harimau Malaya iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata perkara itu akan berubah kerana pihaknya mempunyai perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan skuad negara di venue lain selain SNBJ.


Paling menarik adalah skuad kendalian Kim Pan-gon mungkin akan bermain di Borneo (Sabah atau Sarawak) bagi memberi peluang kepada peminat di sana yang sering merasa seperti dianaktirikan berikutan tidak pernah skuad negara bermain di sana.

“Sebenarnya untuk perlawanan persahabatan bulan Mac ini insyaAllah kita akan bermain di Johor di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), bulan Jun pula kemungkinan kita akan main satu perlawanan di Johor dan kita akan pergi ke Terengganu (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) atau Kedah (Stadium Darul Aman) atau Pulau Pinang (Stadium Batu Kawan atau Stadium Bandaraya).

Pada bulan September, Pan-gon akan bawa pasukan bermain di luar negara mungkin di Hong Kong atau China. Manakala pada bulan Oktober ketika kejohanan Pestabola Merdeka kita akan main di SNBJ kerana kita mahu cuba rumput baru.

Bagaimanapun perlawanan persahabatan pada bulan November mungkin kita akan ke sana (Sabah atau Sarawak),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Hamidin lagi, beliau tidak dapat mengesahkan mengenai tarikh perlawanan persahabatan di Borneo buat masa ini tetapi beliau memberi jaminan skuad negara pasti akan bermain di sana tidak lama lagi.

Perkhabaran ini pastinya akan menggembirakan penyokong Harimau Malaya yang berada di Sabah dan Sarawak kerana tidak perlu terbang ke Semenanjung untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi.

Jelas Hamidin lagi, ini adalah perancangan FAM untuk membawa skuad negara untuk menjelajah ke seluruh Malaysia.

Ketika ini, Turkemistan sudah pun sah akan menjadi lawan skuad negara pada Mac ini dengan sebuah lagi pasukan masih lagi belum dapat disahkan iaitu diantara Yemen atau pun Syria.

Untuk kejohanan Pestabola Merdeka pula, sebanyak empat pasukan sudah mengesahkan tempat iaitu Malaysia, India, Lebanon dan Palestine.

“Kita harap minggu depan kita akan dapat umumkan senarai pasukan yang sah akan menentang Malaysia nanti.”