Cadangan penyokong : Harimau Malaya boleh beraksi di stadium yang berbeza

198

Penyokong bola sepak Malaysia sentiasa memberi sokongan setiap kali pasukan Malaysia beraksi di gelanggang sendiri dengan hadir ke stadium untuk memberi sorakan padu serta menjadi pemain yang ke-12 untuk Harimau Malaya.

Tetapi masalah kewangan menjadi salah satu faktor yang menyebabkan sesetengah penyokong hanya mampu untuk melihat pasukan kesayangan beraksi melalui televisyen atau lepak di mamak bersama kawan-kawan.


Masalah perjalanan yang jauh juga membantutkan hasrat peminat yang berada di luar Lembah Klang untuk berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang terletak di ibu kota

Perkara sebegini meraih perhatian seorang pengikut dan memberikan cadangan dan pandangan beliau di ruangan komen laman Facebook rasmi Harimau Malaya iaitu pasukan Malaysia harus beraksi di stadium berbeza.

Beliau mengutarakan pandangan bahawa perlawanan Malaysia tidak semestinya perlu bermain di SNBJ sebagai venue utama sekiranya pasukan bola sepak turun beraksi.

Pasukan Malaysia boleh sahaja beraksi di stadium lain mengikut pecahan zon seperti zon Timur, Barat, Utara, Selatan dan Borneo.

Zon Timur yang melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang, zon Barat seperti negeri Melaka dan Perak, zon Utara melibatkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, zon Selatan terletak di Negeri Sembilan dan Johor Bharu manakala Borneo melibatkan Sabah dan Sarawak.

Untuk setiap zon, Pihak FAM boleh memilih stadium bola sepak untuk pasukan Malaysia beraksi seperti zon Timur boleh memilih stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Terengganu manakala zon Utara boleh memilih Stadium Darul Aman yang terletak di Kedah.

Di Borneo, Stadium Likas atau Stadium Sarawak boleh dijadikan sebagai tempat untuk pasukan Malaysia dalam melakukan persiapan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan lain.

Dengan cadangan ini, peminat pastinya gembira kerana mereka boleh membawa seisi keluarga untuk menyaksikan skuad Malaysia beraksi di stadium.

Malah, penyokong juga boleh menjimatkan wang kerana tidak perlu merempuh perjalanan yang panjang serta menjimatkan duit minyak dan tol.

Perlu diingat bahawa bola sepak merupakan sukan yang mempunyai paling ramai peminat di Malaysia.

Cadangan ini juga boleh diteliti memandangkan ia turut diguna pakai di Eropah dan Asia serta dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pemain dan penyokong.