Hamidin Amin tak terfikir mahu bertanding untuk jawatan tertinggi AFC

258

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk mencabar atau bertanding untuk jawatan tertinggi dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Hamidin berkata demikian selepas ditanya samada beliau mahu menjawat jawatan tertinggi AFC selepas berjaya dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 baru-baru ini.


“Saya tidak pernah terfikir. Macam saya kata tadi tak terfikir dan tiada dalam impian saya. Selepas jadi Presiden FAM lepas lima tahun, saya tidak pernah terimpi untuk pegang jawatan di FIFA kerana bukan saya yang minta tapi saya didorong dan disokong oleh rakan-rakan untuk saya berada di situ.

Untuk memenangi jawatan Ahli Majlis FIFA bukannya senang kerana ia perlukan endorsement daripada pelbagai pihak termasuk banyak kriteria yang perlu dipenuhi. Jadi dengan pelantikan ini saya harap dapat jalankan tugas dengan baik dan beri manfaat kepada FAM, ASEAN (AFF) dan AFC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Hamidin turut menjelaskan situasi sebenar mengenai permintaan ramai yang mahu masukkan kejohanan Piala AFF dalam kalendar FIFA, sekaligus dapat memastikan kelab-kelab akan melepaskan pemain apabila dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan untuk menghadapi kejohanan itu.

Hamidin berkata, kejohanan itu agak mustahil untuk dimasukkan ke dalam kalendar FIFA kerana tempoh jendela yang singkat.

“Kalendar FIFA ni untuk semua dan bukannya untuk ASEAN saja. FIFA ada tanggungjawab untuk jaga liga domestik di seluruh dunia juga. Kemungkinan untuk kita minta tambah beberapa hari kepada FIFA boleh, tapi untuk tambah bagi satu tempoh yang lama tidak boleh kerana ia akan beri kesan kepada liga lain di dunia.

Untuk Piala AFF pula, komitmen dengan pihak penaja akan memakan tempoh selama sebulan, jadi mustahil untuk dapat masuk dalam kalendar FIFA.”

Tambahnya lagi, pelbagai faktor yang perlu diambil kira untuk memasukkan kejohanan ini dalam kalendar FIFA yang akan memberi kesan pada kejohanan lain termasuk kelayakan dan sebagainya.

Sementara itu, Hamidin turut memberitahu bahawa stadium AFC berkapasiti 15,000 tempat duduk akan dibina di Putrajaya nanti akan memberi kelebihan buat FAM kerana mereka akan diberi keutamaan selepas AFC.

Stadium tersebut juga dibina dekat dengan ibu pejabat baru FAM yang dijangka akan siap pada tahun 2025.

“AFC akan guna padang itu tapi keutamaan kedua adalah kepada FAM. Stadium itu akan digunakan untuk pasukan-pasukan bermasalah seperti Iran, Syria dan sebagainya.

Ia juga akan digunakan untuk apa sahaja perlawanan persahabatan dan juga boleh digunakan oleh semua ahli AFC.”